Diberdayakan oleh Blogger.

About This Blog

" عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه "

قال عبدُ الرَّحمانِ بنُ مهدي : مَنْ أَرادَ أنْ يصنِّفَ كتاباً ، فليبدأ بحديثِ (الأعمال بالنيات )

Lambaian Ikhlasku

MyEm0.Com

Ukhuwah

Selasa, 23 Maret 2010


Dalam kita menjalani kehidupan harian, merenteti hari demi hari, ketahuilah antara komponen penting yang bersama dalam kehidupan kita iaitu saudara, dan saudara itu diikat dengan ikatan Ukhuwah (tali persaudaraan). Marilah kita hayati Firman ALLAH (s.w.t) :


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (10)


10. Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (surah al-Hujuraat : 10)

Ukhuwah yang dimaksudkan disini ialah persaudaraan yang meliputi dalam lapangan agama, (1) dan ketahuilah Ukhuwah bukanlah hanya bagi mereka yang mempunyai pertalian darah sahaja tetapi konsep ukhuwah dalam islam melangkaui batas negara, bangsa, bahasa, warna kulit dan sebagainya, dan hanya satu yang menjadi kayu ukur adalah Agama. Terang dan nyata didalam firman ALLAH (s.w.t) yang menyamakan taraf orang beriman, didalam firman-Nya :


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)


Yang bermaksud: 13. Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (surah al-Hujuraat : 13)

Ayat dari surah al-Hujuraat ayat 10 di atas tadi dikuatkan lagi dengan hadis :


الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ


Maksudnya: seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, janganlah ia menzalimi saudaranya itu dan janganlah ia menyerahkannya kepada musuh. (Mutafaq ’Alaih)

Seterusnya marilah kita hayati ayat didalam firman ALLAH (s.w.t):


وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (71)


71. Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(at-Taubah : 71)


Secara umunya kita dapat mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan ukhuwah, persoalannya apakah yang harus kita lakukan seterusnya, maka disini saya meletakkan beberapa garis panduan atau cara bagaimana dan apakah yang patut dilakukan dalam kita berukhuwah.


1. menunaikan haknya sebagai seorang muslim, sebagaimana sabda Nabi (s.a.w) :


أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ خَمْسٌ رَدُّ السَّلَامِ وَعِيَادَةُ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعُ الْجَنَائِزِ وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ وَتَشْمِيتُ الْعَاطِسِ


Maksudnya : Hak muslim keatas muslim yang lain ada 5 : menjawab salam, menziarahi orang (muslim) yang sakit, mengiringi jenazah, menunaikan / memenuhi jemputan, mentasymitkan ketika ia bersin (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)


Terdapat juga di dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud

” Rasulullah bersabda : hak seorang muslim keatas muslim yang lain ada 6, ada yang bertanya siapa mereka wahai Rasulullah! Rasulullah menjawab : jika kamu bertemunya (seorang muslim) berilah salam keatasnya, jika dia menjemput kamu maka penuhilah, jika dia meminta kamu memberi nasihat maka berikanlah nasihat kepadanya, sekiranya dia bersin lalu dia memuji ALLAH (alhamdulillah) maka tasmitkanlah, sekiranya dia sakit maka ziarahilah, sekiranya ia mati maka ikutilah ”


2. Memberi pertolongan kepadanya (saudara seislam)


Sebagaimana sabda Nabi Muhammad (s.a.w):

والله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيه


Maksudnya: dan ALLAH sentiasa menolong hamba-Nya selagimana hamba-Nya menolong saudaranya (Hadis Riwayat Muslim)


3. Mendoakan kebaikan untuk saudaranya


عَنْ جُنْدَبٍ

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّثَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ وَاللَّهِ لَا يَغْفِرُ اللَّهُ لِفُلَانٍ وَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى قَالَ )مَنْ ذَا الَّذِي يَتَأَلَّى عَلَيَّ أَنْ لَا أَغْفِرَ لِفُلَانٍ فَإِنِّي قَدْ غَفَرْتُ لِفُلَانٍ وَأَحْبَطْتُ عَمَلَكَ ( أَوْ كَمَا قَالَ


Maksudnya : daripada Jundab (r.a), sesungguhnya Rasulullah (s.a.w) pernah berkata : bahawasanya ada seorang lelaki berkata : ” demi ALLAH, ALLAH tidak akan memberikan ampunan untuk si fulan!” Sesungguhnya ALLAH berfirman : ”siapa orang ini yang berani bersumpah atas nama Ku bahawa Aku tidak akan memberikan keampunan untuk si fulan? (ketahuilah) sesungguhnya Aku telah memberikan keampunan untuk si fulan dan aku telah menggugurkan (pahala) amalanmu!” (Hadis Riwayat Muslim)


Sudah jelas di dalam hadis ini supaya kita tidak mendoakan keburukan kepada saudara kita, nescaya ALLAH akan membalas perbuatan itu.


4. Mengunjungi saudaranya


Terdapat hadis yang berbunyi:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَة عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ عَلَى مَدْرَجَتِهِ مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ قَالَ أَيْنَ تُرِيدُ قَالَ أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ قَالَ هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا قَالَ لَا غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكَ بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ


Maksudnya: sesungguhnya ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya (seiman) di sebuah kampung yang lain, maka ALLAH mengirim malaikat penjaga di dalam perjalanannya. Ketika malaikat itu mendatanginya, malaikat itu bertanya, ”kamu ingin kemana?” dia menjawab ”aku ingin mengunjungi saudaraku (seiman) di kampung ini,” Malaikat itu pun bertanya, ” apakah ada kenikmatan yang ingin kamu dapatkan darinya?” dia menjawab,”tidak, sesungguhnya aku mencintai dia kerana ALLAH,” Malaikat itu berkata ”sesungguhnya aku adalah utusan ALLAH kepadamu untuk memberitahu kepadamu bahawa ALLAH telah mencintaimu sebagaimana kamu mencintainya kerana ALLAH”. (Hadis Riwayat Muslim)


Pengajaran yang dapat saya petik adalah dalam erti kata mengunjungi saudara janganlah kita terlalu berharap kepada sesuatu, atau kenikmatan atau sebagainya, kunjungilah saudaramu kerana kamu mencintainya kerana ALLAH.


5. Mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinnya sendiri.


Sebagaimana sabda Nabi (s.a.w) :


عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ


Maksudnya: Tidak beriman (iman yang sempurna) salah seorang daripada kamu sehingga dia mencintai sesuatu bagi saudaranya sebagaimana dia mencintai sesuatu bagi dirinya sendiri. (muttafaq ’alaih)


Semuanya ini adalah dalam perkara kebaikan, tidaklah seseorang yang mencintai sesuatu keburukan bagi dirinya dan ia mencintai juga keburukan bagi saudaranya.


6. Janganlah saling berdengki, saling memperdayakan, saling membenci, jangan membeli barang yang tengah ditawar saudaranya.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا


Maksudnya : daripada Abu Hurairah (r.a) berkata, Telah bersabda Rasulullah (s.a.w) : janganlah kamu saling berdengki, saling memperdayakan, saling membenci, saling menjauhi, dan janganlah membeli barangan yang tengah ditawar saudaranya dan jadilah kalian hamba yang bersaudara.(Hadis Riwayat Muslim)


Dalam lafaz yang lain:


لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا


Maksudnya: janganlah kamu saling berdengki, dan janganlah mencari-cari keburukan orang lain, dan janganlah mencari-cari (memata-matai) cela orang lain, dan janganlah saling memperdayakan, dan jadilah kalian hamba yang bersaudara. (Hadis Riwayat Muslim)


7. Hendaklah menutup aibnya.


Sebagaimana sabda Nabi (s.a.w):


وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ


Maksudnya: dan barangsiapa menutup aib seorang muslim, ALLAH akan menutup aib baginya di dunia dan akhirat. (Hadis Riwayat Muslim)


Dan banyak lagi garis panduan yang tidak dapat saya sebutkan disini, seterusnya kita mendalami gambaran yang cukup indah bagi menerangkan kepentingan berukhuwah, ketahuilah wahai saudaraku persoalan ukhuwah inilah juga termasuk dalam perbincangan al-Wala’ wal Bara’ yang sangat penting dan besar sehingga termasuk dalam perbahasan Akidah walaupun ada sesetengah kumpulan mengecilkan skop al-Wala’ wal Bara’, namun saya tidak menyentuh persoalan al-Wala’ wal Bara’ dalam perbincangan ini.


Ketahuilah saudaraku bahawa konsep ukhuwah itu sangat luas cakupannya, dan sangat kuat ikatanya dengan insan,


Wahai Sahabatku, kenalilah saudaramu, berbuat baiklah kepada mereka, bantulah mereka, kerana persaudaraan ini jugalah tonggak kekuatan umat islam, salah satu tonggak perisai islam, dan ketahuilah agama yang kita cintai ini amat mementingkan persaudaraan.


Ketahuilah sahabatku terdapat Sabda Nabi (s.a.w) :


عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى


Maksudnya : perumpamaan bagi orang mukmin pada kecintaan mereka, dan kasih saying mereka,dan rasa simpati mereka, seperti satu jasad, sekiranya mengadu (terasa sakit) salah satu anggota maka terasa sakitlah seluruh badan dengan demam (Hadis riwayat Muslim, ahmad)


Dan sabda Nabi (s.a.w) :


إِنَّ الْمُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ


Maksudnya : Sesungguhnya orang Mukmin dengan Mukmin yang lain seumpama bangunan yang mengikat (menyokong, memerlukan) satu sama lain, dan Baginda (s.a.w) menggenggam dengan menyelakan jari kedua tangannya. (hadis riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasaie, Ahmad)


Wallahu A’lam

Oleh : Abu Zaid Muhammad Ikhlas bin Rosele

Read more...

AYUH... BENGKEL DAKWAH PROFESIONAL (UNTUK WARGA APIUM)

Selasa, 16 Maret 2010


PENYERTAAN ?! HUBUNGI : NAZIM (0137549173) & RABIATUL (0148271028)

JANGAN LEPASKAN PELUANG KEEMASAN INI!!!

Read more...

ITTIBA’ SEBAGAI BUKTI KECINTAAN KEPADA NABI

Rabu, 03 Maret 2010

ITTIBA’ SEBAGAI BUKTI KECINTAAN KEPADA NABI
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus*

Mencintai Rasulullah s.a.w. merupakan satu perkara yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya. Firman Allah S.W.T:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." – Surah al-Taubah (9) : 24.

Firman-Nya lagi: "Nabi itu (hendaklah) lebih diutamakan bagi orang-orang yang beriman berbanding diri mereka sendiri." – Surah al-Ahzab (33) : 6.

Oleh itu saban tahun menjelangnya 12 Rabiulawal umat Islam diseluruh dunia menyambut hari yang dianggap sebagai ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai upacara seperti perarakan, ceramah-ceramah khas, majlis marhaban dan lain-lain lagi dianjurkan demi untuk menunjukkan kecintaan kepada Nabi s.a.w.. Namun begitu secara realitinya program-program tersebut kurang membangkitkan kecintaan yang hakiki kepada baginda s.a.w.. Umat Islam diseluruh dunia masih mengabaikan sunnah-sunnah baginda dan lebih memilih untuk melakukan amalan-amalan bidaah yang dianggap baik oleh mereka. Ini tidak lain tidak bukan kerana kurang penekanan konsep ittiba’ di dalam majlis-majlis sempena Mawlidurasul tersebut walaupun perbelanjaan yang dikeluarkan mencecah puluhan ribu ringgit. Ittiba’ merupakan cara yang paling efektif untuk menterjemahkan hakikat sebenar mencintai Rasulullah s.a.w.

Apakah itu ittiba’? Ittiba’ dari segi bahasa bermaksud mengikuti atau mencontohi. Bila dikatakan Ittiba’ al-Rasul ianya bermakna mencontohi baginda s.a.w., mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Ittiba’ dari segi syariat bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t..
Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:

a) Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.

b) Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah:

“Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.”
- Hadis riwayat Imam al-Bukhari, hadis no: 2697

“Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia.”
- Hadis riwayat Imam Muslim, hadis no: 1718.

c) Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda s.a.w. telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain di atas perintah baginda tersebut.

d) Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bidaah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata:

Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.” (al-Maaidah (5) : 3) Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.

e) Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syariat. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T.:
“Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89

f) Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:

1) SEBAB: Setiap ibadah yang dihubungkaitkan dengan sesuatu sebab yang tidak disyariatkan oleh Allah S.W.T. maka ianya termasuk dalam perkara bidaah dan tertolak. Sebagai contohnya berpuasa sempena dengan Mawlidurasul. Puasa pada asalnya adalah ibadah, namun tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa berpuasa pada tanggal 12 Rabiulawal itu adalah sunat, maka mengkhususkan hari tersebut dengan berpuasa adalah bidaah.

2) JENIS: Setiap ibadah yang dikerjakan memerlukan untuk menggunakan sesuatu jenis barang maka hendaklah jenis barang tersebut bertepatan dengan kehendak syarak. Sebagai contohnya menyembelih ayam atau itik sebagai haiwan korban pada hari raya Aidiladha adalah bidaah. Ini adalah kerana haiwan yang dibolehkan untuk disembelih untuk ibadah korban adalah unta , lembu, kambing dan biri-biri.

3) KADAR: Setiap ibadah yang mempunyai kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka hendaklah kita menepati kadar tersebut tanpa menambahi mahupun menguranginya. Sebagai contohnya bilangan rakaat solat subuh adalah 2. Oleh itu menambahkannya menjadi 3 rakaat adalah bidaah.

4) TATACARA: Kita juga hendaklah menuruti tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya bagi sesuatu ibadah. Sekiranya kita menambahi atau mengurangi sesuatu perbuatan mahupun bacaan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam sesuatu ibadah maka ibadah tersebut terbatal.

5) WAKTU: Kita juga hendaklah menepati waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesuatu ibadah. Sebagai contohnya menyembelih haiwan korban sebelum mengerjakan solat hari raya Aidiladha membatalkan ibadah korban tersebut.

6) TEMPAT: Kita hendaklah mematuhi penetapan tempat untuk mengerjakan sesuatu ibadah tertentu seperti yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibadah haji hendaklah dikerjakan ditempat-tempat yang telah ditetapkan di Makkah dan kawasan sekitarnya. Oleh itu mengerjakan ibadah haji di Malaysia adalah terbatal.

g) Apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu ibadah ianya hendaklah di atas dasar kepatuhan secara total kepada Allah dan Rasul-Nya baik hikmah yang membelakangi ibadah tersebut diketahui mahupun tidak. Sebagai contoh bagi pengharaman babi hendaklah kita mematuhinya tanpa perlu kita mengetahui terlebih dahulu kajian saintifik tentang bahaya daging tersebut terhadap kesihatan manusia. Ini bukan bermakna kita langsung tidak dibenarkan mencari hikmah disebalik perintah Allah S.W.T. kerana tedapat banyak anjuran di dalam al-Qur’an memikirkan hikmah disebalik kejadian seluruh alam semesta, akan tetapi kita tidak perlu untuk memaksa diri untuk mencari hikmah-hikmah tersebut. Kita tetap perlu menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya walaupun hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal kita.
Sekiranya konsep ittiba’ ini difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh maka ianya dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam. Manfaat mengamalkan ittiba’ adalah seperti berikut:

a) Ittiba’ merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Aali Imraan (3) : 31

b) Ittiba’ merupakan suatu amalan yang dapat menghapuskan dosa sebagaimana firman Allah di atas.

c) Mereka yang menyanggahi seruan untuk ittiba’ temasuk di dalam golongan orang-orang kafir. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” - Aali Imraan (3) : 32

d) Mengamalkan ittiba’ membuktikan kekukuhan iman seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – al-Nisaa’ (4) : 65

e) Menolak untuk berittiba’ akan menyebabkan seseorang itu ditimpa azab yang pedih dari Allah S.W.T.. Firman-Nya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” – al-Nuur (24) : 63

f) Ittiba’ boleh mendatangkan rahmat Allah serta kebahagian di akhirat. Firman Allah S.W.T.: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” – al-Ahzaab (33) : 21

g) Menolak untuk berittiba’ membuka pintu kesesatan terhadap seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” – al-Ahzaab (33) : 36

h) Ittiba’ menyebabkan seseorang itu masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.” Para sahabat bertanya: “Siapa yang enggan?”Rasulullah menjawab: “Barangsiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan barangsiapa yang durhaka kepadaku maka dialah yang enggan.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 7280.

i) Ittiba’ merupakan syarat sah untuk sesuatu amal ibadah itu diterima Allah S.W.T. Para Ulamak ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w

Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadah tersebut dianggap terbatal. Firman Allah S.W.T: "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." - Surah al-Mulk: 2.

Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h: "Maksud 'amalan yang lebih baik' ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” - Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258.

Menerusi penjelasan yang serba ringkas ini maka tidak hairanlah sekiranya kita simpulkan bahawa cara yang paling utama untuk membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan memahami, mengamalkan serta menyebarkan konsep ittiba’. Untuk kita menerapkan konsep ittiba’ ini ternyata ianya bukan satu proses yang datang hanya sekali dalam setahun iaitu ketika sambutan Mawlidurasul. Ianya perlu disemaikan ke dalam minda setiap umat Islam sepanjang masa. Oleh itu sempena sambutan Mawlidurasul tahun ini marilah kita berusaha sedaya upaya untuk mengamalkan ittiba’ dan membanteras sehingga ke akar umbi segala perkara maksiat yang dilarang oleh syarak.


http://akob73.blogspot.com/2009_03_01_archive.html

* pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh dan kemudian melanjutkan pelajarannya di Kuliyyah Sains Kemanusiaan dan Ilmu Wahyu & Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pengkhususan beliau adalah dalam bidang Organizational Communication.
Beliau pada masa ini bertugas di Bahagian Perbankan Perusahaan, Affin Bank Berhad.

Read more...

Al-Quran

Listen to Quran

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP