Diberdayakan oleh Blogger.

About This Blog

" عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه "

قال عبدُ الرَّحمانِ بنُ مهدي : مَنْ أَرادَ أنْ يصنِّفَ كتاباً ، فليبدأ بحديثِ (الأعمال بالنيات )

Lambaian Ikhlasku

MyEm0.Com

MENAHAN MARAH

Sabtu, 21 April 2012



MENAHAN MARAH  
       
Sebagai seorang manusia, secara lumrahnya tidak lari memiliki pelbagai sifat. Antara sifat yang dimiliki manusia adalah sifat kasih, cinta, suka, gembira, sedih, kecewa, tenang, marah, benci, dan sebagainya. Maka sifat marah adalah salah satu sifat yang dimiliki manusia. Jadi apa yang akan diperbahaskan adalah bagaiman manhaj wahyu terhadap sifat marah atau sikap marah yang dimiliki oleh manusia.


Sebaiknya kita melihat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah :

أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَبْ

Yang bermaksud : bahawasanya ada seorang lelaki telah berkata kepada Nabi s.a.w : “berilah wasiat kepadaku”. Baginda s.a.w bersabda : “janganlah engkau marah!”. Orang tersebut mengulanginya berkali-kali dan Nabi bersabda : “janganlah engkau marah!”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

            Dalam hadis ini mempunyai penjelasan yang cukup menarik dalam membincangkan tajuk ini. Imam Ibnu Daqiiq menukilkan dari pengarang kitab al-Ifsah yang mengatakan mungkin sahaja orang yang bertanya kepada Nabi tersebut mempunyai perwatakan yang mudah marah sehingga nabi mewasiatkan pekara tersebut kepadanya[i]. Tetapi bukanlah bermaksud larangan marah ini khusus kepadanya sahaja. Tetapi kepada seluruh umat islam.

            Hadis ini juga termasuk dalam hadis yang terkumpul didalamnya adab-adab yang baik seperti yang dikatakan oleh Muhammad bin Abi Zaid seorang Imam dalam mazhab Maliki di zamannya : Kumpulan adab-adab baik terkandung dalam 4 buah hadis iaitu : Sabda Nabi s.a.w : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka berkata baiklah ataupun diam” dan sabdanya : “Di antara tanda kebaikan Islam seseorang adalah dia meninggalkan apa yang tidak berguna baginya” dan sabdanya : “Orang mu’min itu adalah orang yang mencintai sesuatu bagi saudaranya sebagaimana di mencintai sesuatu bagi dirinya” dan juga sabda Baginda apabila memberi wasiat kepada orang yang meminta wasiat : “janganlah kamu marah!”.[ii]

            Apa yang dimaksudkan dengan larangan daripada Nabi s.a.w (Janganlah kamu marah!) adalah janganlah kamu melahirkan rasa marah seperti memukul, menengking dan sebagainya, bukanlah larangan daripada mempunyai sifat marah itu sendiri kerana sifat semulajadi manusia itu memang mempunyai sifat marah, tidak mungkin untuk manusia menahannya.[iii]

            Oleh kerana ianya sifat semulajadi, jadi perasaan marah dapat dikesan dengan raut wajah, gaya percakapan, muka yang merah dan sebagainya, dan ada sebahagiannya bukanlah dalam kawalan kita, sebagai contoh apabila perasaan marah itu timbul muka akan kemerahan. Hadis ini hakikatnya bukanlah untuk menidakkan sifat semulajadi manusia tetapi larangan sengaja melahirkan dan menzahirkan sifat marah juga perintah agar mengawal marah.

Sifat marah yang terpuji

            Sabda Rasulullah s.a.w :

مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ وَأَبْغَضَ لِلَّهِ وَأَعْطَى لِلَّهِ وَمَنَعَ لِلَّهِ فَقَدْ اسْتَكْمَلَ الْإِيمَانَ

Yang bermaksud : “Barangsiapa yang menyintai kerana Allah, marah kerana Allah, dan memberi kerana Allah, dan melarang (menahan) kerana Allah, maka sesungguhnya telah sempurna imannya” (Hadis riwayat Abu Dawud)[iv]

            Marah kerana Allah disini bermaksud, marah dalam mempertahankan Agama Allah, marah kepada orang yang menghina Agama Islam, menghina Rasulullah, marah dalam melihat orang yang melakukan maksiat dan sebagainya. Adapun yang berkaitan dengan kepentingan diri bukanlah marah yang terpuji.

            Syeikh Majdi bin Abdul Wahab Ahmad telah menjelaskan erti kata marah yang dilarang, adalah marah yang bukan kerana Allah (yang bermotifkan agama), sedangkan marah yang kerana Allah dalah marah yang terpuji[v].

Menahan Marah

Sebagaimana yang telah dibincangkan tadi bahawa Rasulullah melarang untuk meluahkan rasa marah, jadi ianya bermakna Rasulullah memerintahkan agar menahan marah. Ini sejajar dengan Firman Allah s.w.t :

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (134)

Yang bermaksud : “(orang yang bertakwa iaitu) orang yang menfkahkan (hartanya) pada waktu senang mahupun susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik” (Surah Ali ‘Imran : 134)

Firman Allah s.w.t :

وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ (37)

Yang bermaksud : “Dan bagi orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji dan apabila mereka marah, mereka (selalu mengambil sikap) memaafkan” (al-Syuraa : 37)

Jelaslah di dalam dua ayat al-Quran yang mulia ini menyatakan bahawa apabila seseorang itu marah maka hendaklah dia menahan perasaan marahnya itu dan lebih lagi memaafkan orang yang dimarahinya itu. Wallahu a’lam.

Seterusnya sabda Nabi s.a.w :

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Yang bermaksud : “Bukanlah orang yang kuat itu kerana (kebolehannya) bergaduh, hanyalah orang yang kuat itu yang mampu menguasai dirinya (mengawal / menahan) marah” (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Cara-cara untuk Menahan Marah

1-      Mengucap ‘Auzubillahi minasy syaitanir rajiim

Terdapat dua orang yang saling caci mencaci disekitar Nabi s.a.w sedang kami duduk bersama Nabi, salah seorang daripada mereka berdua mencaci seorang lagi dalam keadaan marah, sehingga wajahnya merah, maka Nabi s.a.w bersabda :

إِنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا لَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ لَوْ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Yang bermaksud : “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimat yang seandainya dia (lelaki yang marah itu) menyebutnya nescaya akan hilang apa yang terdapat pada dirinya (marah), iaitu sekiranya dia mengucapkan A’uzubillahi minasy syaitannir rajim (aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk) 
Maka para sahabat bertanya kepada lelaki tersebut : Adakah kamu tidak mendengar apa yang disabdakan oleh Nabi s.a.w?. Lelaki itu menjawab : Sesunggunya aku bukanlah gila (hingga tidak mendengar – pen) (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, lafaz dalam riwayat al-Bukhari)

            Sesungguhnya marah yang bukan kerana Allah itu adalah dari hasutan syaitan, oleh kerana itulah disarankan bagi orang yang marah untuk dia memohon perlindungan (kepada Allah) dengan mengucap a’uzubillahi minasy syaitannir rajiim, kerana dengan mengucapnya adalah antara sebab untuk menghilangkan kemarahan[vi].

2-      Mendiamkan diri

Daripada Abdullah Ibnu ‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

عَلِّمُوا وَيَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ
Yang bermaksud : “Ajarilah, dan permudahkanlah jangan kamu menyusahkan, dan sekiranya seseorang dari kalangan kamu marah hendaklah dia diam” (hadis riwayat Ahmad)

Apabila seseorang sedang marah dan dia terus berbicara, nescaya itu akan menambah kemarahan dalam dirinya. Maka mendiamkan diri dan menjauhkan diri adalah satu jalan yang baik untuk meredakan perasaan marah yang timbul dalam diri seseorang itu.

3-      Mengubah kedudukan 

Sabda Rasulullah s.a.w :

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلَّا فَلْيَضْطَجِعْ
Yang bermaksud : “Sekiranya seseorang daripada kamu marah sedang dia berdiri hendaklah dia duduk, sekiranya hilang kemarahan daripadanya, sekiranya tidak (hilang) maka hendaklah dia baring” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud)[vii]

Ibnu ‘Aqil menyebut : Disunatkan bagi orang yang sedang marah itu mengubah kedudukannya, sekiranya dia dalam keadaan duduk hendaklah dia berdiri dan baring, sekiranya dia (marah dalam keadaan – pen) baring hendaklah dia berjalan[viii].

4-      Berwudu’

Sabda Rasulullah s.a.w :

إِنَّ الْغَضَبَ مِنْ الشَّيْطَانِ وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنْ النَّارِ وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Yang bermaksud : “Sesungguhnya kemarahan itu dari syaitan, dan sesungguhnya syaitan diciptakan daripada api, hanyalah api itu akan terpadam dengan (disirami) air, maka jika salah seorang daripada kamu marah hendaklah dia berwudu’” (Hadis riwayat Abu Dawud)

            Syaikh Ibn Al-Utsaimin menyebut ada dua cara untuk mengubati perasaan marah, iaitu cara berbentuk percakapan (ucapan) dan perbuatan. Adapun cara mengubati berbentuk ucapan adalah, sekiranya seseorang itu merasa marah maka hendaklah dia menyebut a’uzubillah minasy syaitanir rajiim, sebagaimana anjuran Rasulullah di dalam hadis yang telah disebutkan. 

Cara mengubati berbentuk perbuatan adalah, apabila seseorang itu marah dalam keadaan dia berdiri hendaklah dia duduk, sekiranya dia dalam keadaan duduk hendaklah dia baring, kerana perubahan keadaan fizikalnya memberi kesan kepada perubahan batin, dan sekiranya masih tidak berkesan hendaklah dia mengambil wudu’, kerana sibuknya dia dalam berwudu’ akan melupakan perasaan marahnya, dan kerana wudu’ itu memadamkan kepanasan marah[ix].

Kesimpulan

            Ketahuilah dengan tidak mengawal perasaan marah boleh menimbulkan banyak implikasi dan kesan yang negatif, antaranya boleh berlakunya penceraian antara suami isteri, memutuskan hubungan silaturrahim, merosakkan hubungan kejiranan, memisahkan dan memutuskan hubungan persaudaraan, mudah mengeluarkan cacian dan kata-kata kesat dan sebagainya. Sedangkan menghindari perkara tersebut berlaku adalah amat dituntut dan merupakan satu kewajipan. Alangkah lebih baik kita mengambil sikap sabar dan mencari penyelesaian dengan cara yang baik dan lebih berhikmah. Nabi s.a.w telah mengajarkan kita sebagai umatnya cara untuk menahan dan mengawal perasaan marah, mudah-mudahan kita diberi kekuatan oleh Allah untuk mengamalkannya. Wallahu a’lam.

Oleh : Abu Zaid, Muhammad Ikhlas bin Rosele



[i] Ibnu Daqiiqil ‘Ied. (t.t.). Syarah hadits arba’in. (Abu Umar, terj.). Indonesia : Pustaka At-Tibyan. h, 94.
[ii] Al-Hanbali, Ibn Rejab. (2000). Jami’ al-‘ulum wal hikam. Mesir : Maktabah At-Tuqifiyah. h. 162.
[iii] An-Nawawi. (2007). Syarh al-arba’in an-nawawiyah. Beirut : Muasasah Ar-Rayyan. h. 134.
[iv] Hadis hasan shahih, rujuk Al-Albani, Muhammad Nasiruddin. (2000). Shahih at-Targhib wa at-Tarhib. Riyadh : Maktabah Ma’arif. j. 3. h. 165.
[v] Majdi bin Abdul Wahab Ahmad. (2005). Syarh Hisn al-Muslim. Riyadh : Maktabah Mulk Fahd al-Wathaniyah. h. 281.
[vi] An-Nawawi. (1930). Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim (Shahih Muslim bi Syarh an-Nawawi). Al-Azhar : Matba’ah al-Misriyah. j. 16. h. 163.
[vii] Shahih, lihat, al-Khatib at-Tabrizi, Muhammad bin ‘Abdillah. (1979). Misykat al-Mashabih. Beirut : Al-Maktab al-Islami. j. 3. h. 1415, yang ditahkik oleh syeikh al-Albani.
[viii] Al-Hanbali, Muhammad Ibn Muflih. (1999). Al-Adab al-syari’ah wa al-minah al-mar’iyah. Al-Mansurah : Dar al-Wafa’. j. 2. h. 215.
[ix] Al-Utsaimin, Muhammad bin Shalih. (2004). Syarah al-Arba’in an-Nawawiyah. Riyadh : Dar al-Tharaya. h. 207-208.

Read more...

Al-Quran

Listen to Quran

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP