Diberdayakan oleh Blogger.

About This Blog

" عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه "

قال عبدُ الرَّحمانِ بنُ مهدي : مَنْ أَرادَ أنْ يصنِّفَ كتاباً ، فليبدأ بحديثِ (الأعمال بالنيات )

Lambaian Ikhlasku

MyEm0.Com

TELAH HILANGNYA RASA MALU

Sabtu, 26 Februari 2011



Telah hilangnya rasa malu



Terlebih dahulu saya mahu membawa sebuah hadis sebagai muqadimah kepada artikel ini.



قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ



Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a telah berkata : Sanda Rasulullah s.a.w : Iman itu bercabang sebanyak 70 atau bercabang sebanyak 60 cabang, dan yang setinggi-tinggi iman itu adalab bersaksi/ berkata “tiada tuhan yang berhak disembah selain ALLAH” dan yang serandah-rendahnya adalah mengalihkan pekara yang mengganggu/menyakitkan perjalanan, dan malu itu daripada salah satu cabang Iman. (Hadis riwayat Muslim)



Moga-moga ALLAH merahmati saya dan kalian



Saya membawa hadis ini untuk renungan bersama, juga mempunyai pandangan yang ingin saya kongsikan. Saya melihat mereka yang bergelar muslim hari ini khususnya dikalangan remaja, saban hari telah hanyut dalam buaian dunia tidak terkecuali diri ini, maka hendaklah seseorang itu membina benteng rohani agar imannya tetap dan tegar walau apa jua pekara menduganya. Dan diantara benteng iman yang dimaksudkan adalah perasaan malu. Tetapi malangnya perasaan ini lama kelamaan pudar dalam diri seorang muslim lebih-lebih lagi dengan pengaruh budaya barat, doktrinisasi negatif yang berleluasa, pengaruh rakan dan pengawasan kurang dari setiap aspek tidak kira berbentuk agama atau sosial.



Saya juga dapat melihat pekara ini berlaku dikalangan rakan sebaya dan selain mereka, lebih membimbangkan lagi mereka ini adalah mahasiswa dan amat memeningkan kerana mereka dialiran agama. Ada dikalangan mereka tidak malu untuk bergaul bebas dengan bukan mahramnya, tidak malu berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, atau menceritakan hubungan yang tidak halal itu kepada kawan-kawan atau lebih teruk lagi memaparkan di dalam laman sosial. Juga mereka yang terlibat dengan masalah sosial yang lain, tanpa segan silu mereka menonjolkannya dan bangga apabila diketahui oleh orang lain.



Saya mengira hilangnya perasaan malu ini jugalah punca banyak peristiwa atau kejadian yang negative berleluasa dikalangan remaja, tidak terkecuali mahasiswa islam.



Mari kita renungi potongan hadis ini, hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda :



كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ



Yang bermaksud : setiap dikalangan umatku diampun kecuali mujahiriin (menghebahkan perbuatannya), diantara sikap mujaharah ini adalah, seorang lelaki mengerjakan satu perbuatan pada malam hari kemudian ia bangun pada siangnya, sesungguhnya ALLAH telah menutup perbuatanya itu (dari pengetahuan orang lain), kemudian dia (lelaki) itu berkata : wahai fulan, semalam aku telah lakukan begitu dan begini, sesungguhnya dia tidur dimalam tersebut, Tuhannya telah menutup perbuatan tersebut, akan tetapi ia bangun pagi dan menyingkap tutupan ALLAH untuknya itu. (Hadis riwayat al-Bukhari)



Apakah tidak cukup hadis ini menjadi pengajaran kepada mereka yang tanpa segan silu menghebahkan kemaksiatan yang dilakukan atau pekara yang menyaggahi norma-norma hidup sebagai muslim?. Adapun sebahagian muslim hari ini terlalu memandang remeh akan dosa, kerana menganggap perbuatannya itu merupakan pekara kecil, ataupun kesalahan kecil, maka perhatikan ungkapan ini :



Imam al-Auza’I berkata, aku mendengar Bilal bin Sa’ad berkata : “Janganlah engkau melihat kecilnya dosa, akan tetapi lihatlah kepada siapa engkau berbuat dosa.[i]



Ungkapan yang cukup memberi makna kepada diri ini dan bermanfaat untuk umat islam. Seringkali manusia itu menilai dan menghitung-hitung kecil besarnya dosa, hingga ada ungkapan-ungkapan yang bodoh keluar dari mulut mereka seperti ; “dosa kecil sahaja”, “bukan kita buat selalu dosa kecil ini” dan sebagainya. Tetapi apakah mereka tidak mengetahui kepada siapa dosa mereka berbuat dosa, walau sekecil manapun dosa ketahuilah kamu sedang berbuat dosa kepada Pencipta kamu, Allah maha penyayang yang melimpahkan rahmat dan mengurniakan rezeki untuk hambaNya.



Sifat malu itu membawa kebaikan



Ketahuilah bahawa sifat malu itu membawa kebaikan, dalam aspek ibadah, muamalah dan sebagainya. Sifat malu itulah yang menjaga maruah seorang muslim tidak kira lelaki mahupun perempuan. Mari kita hayati sabda Nabi s.a.w [ii]:



الْحَيَاءُ لَا يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ



Yang bermaksud : Malu itu tidak datang kecuali membawa kebaikan. (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat muslim : “Malu itu baik seluruhnya” atau Sabda Nabi s.a.w : “Malu itu seluruhnya adalah baik”.



Apakah sifat lawan kepada sifat malu. Lawan kepada sifat malu antaranya adalah (جرأة في فحش) iaitu berani dalam melakukan atau dalam pekara maksiat[iii] ataupun (الوقاحة) yang bermaksud kurang ajar contohnya apabila dikatakan (من الوقاحة أن تكذب غلى والديك) bermaksud adalah kurang ajar jika kamu menipu kedua ibu bapa kamu[iv].



Apa yang kita dapat faham dari kata lawan ini, adalah telah hilang rasa malu seseorang itu apabila dia suka menyatakan perbuatan maksiat atau menceritakan dosa yang dia lakukan atau menunjuk-nunjuk maksiat yang dia lakukan. Apa yang ingin saya fokuskan disini adalah tempat mereka menyatakan maksiat dan sebagainya dan juga tempat yang telah menghilangkan sifat malu seorang muslim itu adalah laman sosial, seperti facebook, twitter, yahoo masengger, friendster, skype dan sebagainya. Maka waspadalah wahai orang yang bergelar muslim.



Ancaman bagi sesiapa yang hilang sifat malunya.



Sabda Rasulullah s.a.w :



إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ



Yang bermaksud : Sesungguhnya antara yang diketahui oleh manusia daripada perkataan nubuwwah yang terdahulu adalah apabila kamu tidak berasa malu, maka buatlah apa yang kamu mahu. (Hadis riwayat al-Bukhari)



Perkataan “maka buatlah apa yang kamu mahu” terdapat dua penafsiran, pertamanya yang dimaksud bukanlah suruhan atau perintah (walaupun kita melihat terdapat kata suruh (فعل الأمر)) tetapi ianya bermaksud ancaman dan peringatan keras sebagaimana firman Allah ta’ala :



اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ (40)



Yang bermaksud : Lakukanlah apa yang kamu kehendaki. (Fushshilat : 40)



Ayat tersebut mengandungi makna ancaman dan peringatan yang keras, kerana telah jelas bagi sesorang itu pekara yang semestinya mereka kerjakan dan yang sepatutnya mereka tinggalkan. Sebagaiman sabda Nabi s.a.w :



مَنْ بَاعَ الْخَمْرَ فَلْيُشَقِّصْ الْخَنَازِيرَ



Yang bermaksud : Barangsiapa yang menjual khamr maka hendaklah dia memakan daging babi. (Hadis riwayat Abu Daud)


Ini bermaksud tidak dibolehkan menjual arak dan juga memakan babi[v].



Penafsiran kedua adalah, lakukanlah sesuatu yang tidak malu bagi orang yang mengerjakannya. Bermaksud sifat malu itu untuk melakukan pekara keji dan melakukan sesuatu yang tidak malu untuk dikerjakan bermaksud melakukan pekara yang baik. Kerana malu itu sebahagian daripada iman, dan Iman akan mencegah seseorang dari melakukan perbuatan yang keji[vi].



Adapun penafsiran lain dari Imam an-Nawawi adalah, suruhan terhadap melakukan pekara-pekara yang harus, kerana setiap pekara yang tidak ada larangan daripada nas syara’ ianya adalah harus[vii]. Imam Nawawi juga mengatakan ada yang menafsirkan seperti penafsiran pertama. Walau bagaimanapun dapat kita simpulkan bahawa hadis ini membawa unsur-unsur ancaman.



Tetapi tidak seharusnya seseorang itu malu dalam menegah pekara maksiat, malu dalam menuntut ilmu, malu dalam bertanya dan sebagainya. Biarlah sifat malu itu sesuai dengan tempat keadaan dan situasi. Tetapi seharusnya mereka malu dalam pekara maksiat. Ditegaskan sekali lagi janganlah malu dalam menuntut ilmu[viii], seperti didalam sebuah atsar Shahih diriwayatkan daripada Imam Mujahid bin Jabr (w. 104H) mengatakan :



لَا يَتَعَلَّمُ الْعِلْمَ مُسْتَحْيٍ وَلَا مُسْتَكْبِرٌ



Yang bermaksud : Tidak menuntut ilmu orang yang malu dan orang yang sombong (Diriwayatkan secara mu’alaq dalam Shahih al-Bukhari)



Kesimpulan



Adalah rugi bagi seorang yang bergelar muslim hilang sifat malunya, manakan mungkin salah satu persoalan penyempurnaan iman ini hilang dari diri mereka. Antara faktor yang telah menghilangkan perasaan malu adalah telah terpengaruhnya umat islam dengan doktrinisasi barat, yahudi, kristian dan selainnya, terpengaruh budaya mereka, ketahuilah mereka telah berjaya dalam peperangan ini iaitu “silent war”, hingga telah meruntuhkan akhlak umat Islam, remaja Islam khususnya. Sedarlah wahai saudaraku seIslam, tiadalah lebih baik untukmu kecuali memelihara Iman. Usahalah menggapai kesempurnaan iman semampumu.



Wallahu a’lam




Disediakan oleh : Abu Zaid, Muhammad Ikhlas bin Rosele


[i] Diriwayatkan oleh Abdullah ibn Mubarak (az-Zuhd), Abu Nuaim (al-Hilyah) dan selain mereka. Dipetik dari : Abdul Malik bin Ahmad Ramadhani. (2005). Pilar utama dakwah salafiyyah, (Mubarak B.M. Bamuallim- terj). Indonesia : Pustaka Imam Asy-Syafi’e. (judul asli dicetak pada 2002). h. 89

[ii] Imam An-Nawawi. (1992). Riyadus Shalihin. Beirut : Al-Maktab Al-Islami, h. 294.

[iii] Abu ‘Amru Mihran Mahir.(2005). Al-Hayaa’. Teks khutbah ini diambil pada 26 Februari 2011 daripada http://www.saaid.net/Minute/124.htm

[iv] Kamus Oxford Fajar (Bahasa Melayu – Bahasa Arab, Bahasa Arab – Bahasa Melayu)

[v] Ibnu Daqiiq al-‘Eid. Syarah hadits arba’in. (Abu Umar Abdillah Asy-Syarif, terj.). Solo, Indonesia : Pustaka At-Tibyan. h. 106-107.

[vi] Ibid

[vii] An-Nawawi, Muhyiddin Yahya bin Syaraf. (2007). Syarhul arba’in an-nawawiyah fil ahadis as-shahihah an-nabawiyah. Beirut, Lubnan : Muassasa Ar-Rayyan. h. 150.

[viii] Yazid bin Abdul Qadir Jawas. (2009). Menuntut ilmu jalan menuju surga. Indonesia : Pustaka At-Taqwa, h. 78-79.

0 ulasan:

Posting Komentar

Al-Quran

Listen to Quran

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP