Diberdayakan oleh Blogger.

About This Blog

" عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه "

قال عبدُ الرَّحمانِ بنُ مهدي : مَنْ أَرادَ أنْ يصنِّفَ كتاباً ، فليبدأ بحديثِ (الأعمال بالنيات )

Lambaian Ikhlasku

MyEm0.Com

TAUBAT

Sabtu, 11 Februari 2012



Maksud Taubat
Maksud taubat adalah kembali dari apa-apa yang hendak ditaubati daripadanya kepada apa yang  ditaubati kepadanya. Maka taubat yang disyariatkan adalah kembali kepada Allah, dan kepada apa yang Allah perintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Bukanlah taubat itu semata-mata bertaubat dari melakukan pekara keji sahaja sebagaimana yang disangka oleh orang-orang yang bodoh, mereka (orang bodoh) tidak menggambarkan taubat kecuali (bertaubat) daripada apa-apa yang dilakukan seorang hamba dari pekara buruk seperti perkara-perkara kehinaan dan kezaliman, sedangkan bertaubat dari (oleh kerana) meninggalkan perkara baik yang telah diperintahkan lebih penting daripada bertaubat dari melakukan maksiat.[i]

Begitu jelas pentakrifan taubat yang diberikan oleh Syaikul Islam. Seseorang itu bukan sahaja perlu bertaubat dari melakukan dosa, tetapi ia perlu bertaubat kerana meninggalkan perkara yang telah diperintahkan oleh Allah, bahkan inilah yang patut diberi keutamaan.
Dalil wajibnya bertaubat
Sudah jelas dalil-dalil  dari Kitab Allah (al-Quran), sunnah Rasulullah s.a.w. serta ijma' seluruh umat mengenai kewajiban  bertaubat.[ii]

Allah s.w.t berfirman: 
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (31)

Yang bermaksud : “Dan bertaubatlah engkau semua kepada Allah, wahai sekalian orang Mu'min, supaya engkau semua memperoleh kebahagiaan.” (surah an-Nur : 31)

Allah s.w.t berfirman lagi: 
وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ ...(3)

Yang bermaksud : “Mohon ampunlah kepada Tuhanmu semua dan bertaubatlah kepada-Nya.” (surah Hud : 3)

Allah s.w.t berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا ...(8)

Yang bermaksud : “Hai sekalian orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha - yakni yang sebenar-benarnya.” (surah at-Tahrim: 8)

Sabda Nabi s.a.w :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Yang bermaksud : “Wahai sekalian manusia bertaubatlah kepada Allah, sesungguhnya aku bertaubat kepadanya sebanyak seratus kali dalam sehari” (Hadis riwayat Muslim)

Taubat Nasuha
            Taubat Nasuha adalah taubat keatas dosa yang dilakukan dan sama sekali tidak melakukan kembali dosa tersebut. Allah s.w.t memerintahkan supaya umat islam untuk melakukan taubat nasuha. Firman Allah s..w.t :
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا ...(8)

Yang bermaksud : “Hai sekalian orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha - yakni yang sebenar-benarnya.” (surah at-Tahrim: 8)

Umar al-Khattab r.a memabaca ayat diatas ini dan berkata : “Seseorang melakukan dosa kemudian dia tidak mengulangi perbuatan dosanya itu[iii]

Beliau (Umar) r.a berkata : “Taubat nasuha adalah seseorang itu bertaubat dari dosanya kemudian dia tidak mengulangi perbuatan dosa itu[iv]

Cara taubat nasuha
Para Ulama’ berkata: "Bertaubat itu hukumnya wajib dari segala jenis dosa. Sekiranya maksiat itu berlaku antara seseorang hamba dengan Allah Ta'ala, yang tidak ada hubungannya dengan hak seseorang manusia yang lain, maka untuk bertaubat itu hendaklah memenuhi tiga syarat, iaitu: 
Pertama : hendaklah berhenti daripada melakukan maksiat tersebut.
Kedua : Merasa sesal atas perbuatan maksiat yang dilakukan
Ketiga : Berazam tidak akan mengulangi perbuatan maksiat itu untuk selama-lamanya.

Jikalau salah satu dari tiga syarat tersebut gugur, maka tidak sahlah taubatnya.

Sekiranya maksiat itu yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia, maka syarat-syaratnya ada empat, iaitu tiga syarat yang telah disebut di atas dan keempatnya ialah melepaskan tanggungjawab daripada tuannya. Maka jika sekiranya tanggungan itu berbentuk harta atau seumpamanya, maka dia wajib memulangkan kepada orang yang berhak (tuannya), sekiranya berbentuk tuduhan zina atau seumpamanya, maka hendaklah mencabut tuduhan tadi dari orang yang dituduh atau meminta maaf  daripada tuannya dan sekiranya  berbentuk umpatan, maka hendaklah dia meminta halal yakni kemaafan atas umpatannya itu daripada orang yang diumpat. 
Seseorang itu wajib bertaubat dari segala jenis dosa, tetapi sekiranya seseorang itu bertaubat dari sebahagian dosanya sahaja, maka taubatnya itu dikira sah dari dosa yang dia maksudkan. demikian pendapat para ulama’ yang termasuk golongan ahli al-haq, dan dosa-dosa lain yang belum ditaubati akan kekal (sebagai dosa).[v]
Martabat taubat
            
 Yang hendak dimaksudkan di sini adalah martabat taubat mengikut peringkat-peringkat dosa yang hendak ditaubati.
Martabat pertama adalah yang paling besar dan paling wajib adalah bertaubat dari kekufuran kepada iman, Firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu: ‘Jika mereka berhenti (dari kekafirannya), nescaya Allah akan mengampuni mereka dari dosa-dosa mereka yang telah lalu’” (Surah al-Anfal : 38)
Martabat kedua adalah bertaubat dari dosa-dosa besar.
Dan martabat ketiga adalah bertaubat dari dosa-dosa kecil. Wajib bagi seseorang muslim itu bertaubat dari setiap dosa.[vi]
Taubat Nabi s.a.w

Sabda Nabi s.a.w :
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Yang bermaksud : “Demi Allah, sesungguhnya saya memohon keampunan Allah (beristighfar-pent) dan bertaubat kepada-Nya lebih daripada tujuh puluh kali dalam sehari” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda Nabi s.a.w : 
يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Yang bermaksud : “Wahai sekalian manusia bertaubatlah kepada Allah, sesungguhnya aku bertaubat kepadanya sebanyak seratus kali dalam sehari” (Hadis riwayat Muslim)
Bertaubat kemudian melakukan kembali dosa yang telah ditaubati itu.
            Bagi persoalan ini telah nyata terdapat sebuah hadis qudsi, diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a :
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا يَحْكِي عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ أَذْنَبَ عَبْدٌ ذَنْبًا فَقَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عَبْدِي أَذْنَبَ ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ اعْمَلْ مَا شِئْتَ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكَ قَالَ عَبْدُ الْأَعْلَى لَا أَدْرِي أَقَالَ فِي الثَّالِثَةِ أَوْ الرَّابِعَةِ اعْمَلْ مَا شِئْتَ

Yang bermaksud : Daripada Nabi s.a.w yang bersabda dari apa yang diceritakan dari Tuhannya ‘azza wa jalla : “Ada seorang hamba yang berbuat dosa lalu dia mengatakan Allahummagfirliy dzanbiy (Ya Allah, ampunilah dosaku). Lalu Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah berbuat dosa, lalu dia mengetahui bahwa dia memiliki Rabb yang mengampuni dosa dan menghukumi setiap perbuatan dosa’. (Maka Allah mengampuni dosanya), kemudian hamba tersebut mengulangi lagi berbuat dosa, lalu dia mengatakan, Ay robbi agfirli dzanbiy (Wahai Rabb, ampunilah dosaku). Lalu Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah berbuat dosa, lalu dia mengetahui bahwa dia memiliki Rabb yang mengampuni dosa dan menghukumi setiap perbuatan dosa’. (Maka Allah mengampuni dosanya), kemudian hamba tersebut mengulangi lagi berbuat dosa, lalu dia mengatakan, ‘Ay robbi agfirli dzanbiy(Wahai Rabb, ampunilah dosaku). Lalu Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah berbuat dosa, lalu dia mengetahui bahwa dia memiliki Rabb yang mengampuni dosa dan menghukumi setiap perbuatan dosa. Beramallah sesukamu, sungguh engkau telah diampuni.” (Hadis riwayat Muslim)
            Imam Nawawi r.h : seandainya seseorang itu berulang dalam melakukan dosa hingga seratus kali atau seribu kali ataupun lebih dan dia bertaubat pada setiap kali dia berbuat dosa itu, diterima taubatnya itu dan gugur dosanya, sekiranya dia bertaubat dari segala dosanya yang dia telah lakukan dengan hanya sekali taubat, taubatnya dikira sah. Allah s.w.t berfirman (dalam hadis qudsi) kepada orang yang berulang-ulang melakukan dosa : “Beramallah sesukamu, sungguh engkau telah diampuni.”. Maksudnya selagi mana kamu melakukan dosa kemudian kamu bertaubat Aku ampunkan (dosa itu) bagi kamu, ini seiring dengan kaedah yang telah disebutkan dalam Nabi s.a.w yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya di waktu malam untuk orang yang melakukan kejahatan di siang hari bertaubat dan Dia membentangkan tanganNya di waktu siang supaya orang yang melakukan kejahatan di malam hari bertaubat, hinggalah munculnya matahari dari sebelah baratnya”…[vii]

Melakukan Solat Sunat Taubat
            Sabda Nabi s.a.w :
مَا مِنْ رَجُلٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا ثُمَّ يَقُومُ فَيَتَطَهَّرُ ثُمَّ يُصَلِّي ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ { وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ } إِلَى آخِرِ الْآيَةِ

Yang bermaksud : “Tidak seorang hamba pun yang telah mengerjakan sesuatu dosa, lalu dia mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, setelah itu (menyelesaikan solat tersebut) dia memohon ampun kepada Allah (atas dosanya tersebut), maka Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian baginda membaca ayat  (Dari Firman Allah s.w.t. surah Ali ‘Imran : 135) yang bermaksud : “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)” (Hadis riwayat at-Tirmizi)[viii]
Ikhlas dalam bertaubat.
            Kerana Allah s.w.t tidak menerima amal perbuatan seseorang hamba itu kecuali ianya ikhlas dan mengharap keredaan Allah. Firman Allah s.w.t :
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ (5)

Yang bermaksud : “Dan mereka tidaklah disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah : 5)
            Selain ikhlas dalam melakukan ibadah, hendaklah juga ia bertepatan dengan sunnah Rasulullah s.a.w, kerana Allah s.w.t telah memerintahkan agar berpegang dengan sunnah Rasulullah dan mentaati serta mengikuti baginda. 
Wallahu a’lam

Oleh : Abu Zaid 


[i] Ibn Taimiah. (t.t.). At-Taubah. Kaherah : Maktabah At-Turath Al-Islami. h, 15.
[ii] An-Nawawi, Yahya bin Syaraf. (2007). Riyadus Shalihin. Beirut : Dar Ibn Kathir. h, 14.
[iii] Ibn Kathir, Ismail bin Umar. (1999). Tafsir al-Quran al-‘Azhim. Riyadh : Dar Thaiyyibah. j, 8. h, 168.
[iv] Ibid.
[v] An-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Op. Cit.
[vi] Al-Uthaimin, Muhammad bin Soleh. (1426H). Syarh Riyad as-Shalihin. Riyadh : Madar al-Wathan. j, 1. h, 86.
[vii] An-Nawawi. (1929). Shahih Muslim bi Syarhi an-Nawawi. Mesir : Matba’ah al-Misriyyah. j, 17. h, 75-76.
[viii] Shahih, dishahihkan Al-Albani, rujuk Al-Albani, Muhammad Nasiruddin. (2000). Shahih at-Targhib wa at-Tarhib. Riyadh : Maktabah al-Ma’arif. j, 1. h, 427.

0 ulasan:

Posting Komentar

Al-Quran

Listen to Quran

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP