Diberdayakan oleh Blogger.

About This Blog

" عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه "

قال عبدُ الرَّحمانِ بنُ مهدي : مَنْ أَرادَ أنْ يصنِّفَ كتاباً ، فليبدأ بحديثِ (الأعمال بالنيات )

Lambaian Ikhlasku

MyEm0.Com

MENJAGA ADAB TERHADAP GURU

Senin, 11 Juni 2012


MENJAGA ADAB TERHADAP GURU

Tidak kira mereka itu masih kecil atau dewasa, di sekolah rendah, menengah atau di unversiti, ataupun mereka hanya belajar di kelas-kelas awam, masjid dan sebagainya. Tidak kira muda atau tua, pelajar atau MAHASISWA. Mereka semua masih tergolong dalam Thalibul ‘ilmi (Penuntut ilmu) jadi janganlah lupa tanggungjawab dan amanah sebagai penuntut ilmu. 


Jadi antara tanggungjawab dan kewajipan mereka sebagai penuntut ilmu adalah menjaga adab terhadap gurunya, tidak kiralah apa gelaran mereka, guru, ustaz, Dr., PENSYARAH, Syeikh, Mu’allim dan sebagainya mereka semua adalah Mu’allim yaitu orang yang mengajarkan ilmu. 

            Ketahuilah sesungguhnya para Salaf al-Soleh sangat memuliakan orang yang mengajar mereka, dan hasilnya dapat dilihat melalui adab-adab mereka dalam majlis-majlis ta’lim (majlis ilmu) dan penghormatan mereka terhadap guru-guru mereka[i]. Al-Khatib rh meriwayatkan banyak atsar-atsar berkaitan perkara ini. Antaranya :

Diriwayatkan bahawa Mughirah berkata : “Kami takut kepada (menyegani-pen) Ibrahim al-Nakha’I sebagaimana kami takut kepada pemerintah

Diriwayatkan bahawa Ayyub berkata : “Terdapat seorang lelaki yang duduk (belajar) kepada Hasan selama tiga tahun, dan dia tidak bertanya kepada hassan satu pun kerana takut (kagum) kepadanya

Daripada Ishak al-Syahidiyy ; “aku melihat Yahya bin al-Qattan solat Asar, kemudian beliau duduk bersandar di tiang masjid, dan datang di hadapannya Ali bin al-Madani, al-Syadzakuni, ‘Amru bin ‘Ali, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in dan selain mereka bertanyakan tentang hadis sedang mereka berdiri, (berdiri) sehingga tiba solat Maghrib. Beliau tidak mengatakan kepada seorangpun daripada mereka : Duduk!, Maka mereka tidak duduk kerana takut (segan) kepadanya dan memuliakannya.”

Diriwayatkan bahawa Abdul Rahman bin Harmalah al-Aslamiy berkata : “Tidak ada seorang pun yang berani terhadap Sa’id bin al-Musayyib untuk menanyakan tentang sesuatu, sehinggalah beliau mengizinkan sebagaimana (keadaan) pemerintah mengizinkan[ii].

            Ketahuilah, bagaimanakah kita memperolehi ilmu, mengenal agama Islam, dapat membaca al-Quran memahami isinya, tafsirnya, mendengar sabda Nabi s.a.w, memahami isi kandungannya , ilmu fiqh, akhlak, juga bagaimana kita dapat memperolehi ilmu-ilmu fardu kifayah, seperti ilmu kedoktoran, ilmu sains, geografi dan selainnya yang nanti akan mendatangkan manfaat kepada umat islam, tidak lain melalui perantaranya guru, ajarannya guru.
             
Hayatilah sabda Nabi s.a.w :
لَيْسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا حَقَّهُ

Yang bermaksud : “Bukan termasuk umatku siapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, menyayangi orang yang lebih muda dan mengetahui hak-hak orang ‘alim” (Hadis riwayat Imam Ahmad)[iii]

Oleh kerana itulah Thawus rh menyebut : 

إن من السنة ، أن توقر العالم

Yang bermaksud : “Sesungguhnya termasuk dalam sunnah, adalah menghormati orang yang ‘alim[iv].

            Dengan menghormati ulama’ ianya juga bermaksud menghormati syariat, kerana ulama’ pembawa (yang mengajarkan) syariat, dan dengan menghina ulama’ dikira menghina syariat. Ini adalah kerana ulama’ sekiranya dikeji dan dijatuhkan di hadapan manusia, maka akan terkeji juga syariat yang dia ajarkan, dan tidak ada nilainya bagi manusia, dan semua manusia pun mencemuh mereka (ulama’) dan mencela mereka dan syariat juga akan menghilang[v].

            Seorang penuntut ilmu wajib menghormati ustaz (guru)nya yang telah mengajarnya, wajib beradab dengan adab yang mulia, juga harus berterima kasih kepada guru yang telah mengajarkan ilmu yang bermanfaat kepadanya[vi].

            Antara adab-adab penuntut Ilmu secara umum pertamanya adalah mengikhlaskan diri kerana Allah dalam menuntut ilmu. pekara inilah yang menjadi asas dalam setiap perbuatan sekalipun. berdasarkan firman ALLAH s.w.t :
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Yang bermaksud : “padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah ALLAH dengan memurnikan ketaatan kepadanya (ikhlas) dalam agama dengan lurus” (Surah al-Bayyinah : 5)

Sabda Nabi s.a.w :

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Yang bermaksud : “hanyasanyalah amalan itu bergantung pada niatnya” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

Syeikh Abdul Rahman Nasir al-Sa’di menyebut ; dan (hendaklah) mereka mencari (berusaha mendapatkan) asas yang bermanfaat (ikhlas) ini pada setiap detik dalam urusan-urusan mereka dan pekerjaan. Sekiranya mereka belajar atau mempelajari, atau mencari atau memerhati, atau mendengarkan atau mendengar, atau menulis atau menghafal, atau mengulang pelajaran yang khusus atau mengulangkaji pelajaran tersebut atau pelajara-pelajaran yang lain, ataupun duduk di dalam majlis ilmu, atau melangkah pergi ke majlis ilmu, atau membeli buku atau membeli pekara-pekara yang membantu dalam mendapatkan ilmu (seperti alat tulis dsb), dalam keadaan mereka sentiasa ikhlas kerana Allah dan mengharap balasan-Nya dan pahala-Nya, untuk menjadikan setiap kesibukan mereka itu sebagai satu kekuatan dan ketaatan, sebagai jalan menuju Allah dan menuju kemulian-Nya, agar mereka dapat menjadi seperti apa yang disabdakan Nabi s.a.w : “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk pergi menuntut ilmu Allah akan memudahkan jalannya untuk ke syurga” (Hadis riwayat Muslim). Setiap jalan samada jalan yang nyata atau maknawi ditempuhi oleh ahli ilmu untuk memudahkannya mendapat ilmu, atau mencapainya maka ia termasuk dalam hadis tersebut[vii].

Sesungguhnya asas kepada adab tidak kira penuntut ilmu mahupun guru adalah mengikhlaskan diri kerana Allah s.w.t, menuntut keredaan-Nya, berniat untuk menghidupkan agama, dan mengikut Nabi s.a.w. Maka (hendaklah) mengharapkan wajah Allah dari setiap proses pembelajaran, pemahaman dan memberi kefahaman, dan dalam menelaah ilmu, belajar dan mengulangkaji ilmu. Dan (hendaklah) mencabut kegelapan kebodohan dari dirinya dan orang lain. Dan (hendaklah) dia menyinarkan hatinya dan menghidupkannya dengan ilmu yang bermanfaat[viii].

Oleh : Abu Zaid, Muhammad Ikhlas bin Rosele


[i] Muhammad bin Sai’d Raslan. (2008). Fadl al-‘Ilm Wa adabu Thalabihi wa Thuruq Tahsilihi wa Jam’ihi. Kaherah : Dar Adwa’ al-Salaf. h. 301.
[ii] Semua riwayat di atas dipetik oleh Muhammad bin Sa’id Raslan dari ; Al-Baghdadi, al-Khatib. (1983). Al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami’. Riyadh : Maktabah al-Ma’arif. j.  1. hh. 184-185.
[iii] Hadis hasan, dihasankan oleh Syeikh al-Albani, lihat ; al-Albani, Muhammad Nasiruddin. (1988). Shahih al-Jami’ al-Shaghir. Beirut : al-Maktab al-Islami. j. 2. h. 957.
[iv] Ibn ‘Abdil Barr. (1994). Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi. Riyadh : Dar Ibn al-Jauzi. j. 1. h. 459.
[v] Al-‘Uthaimin, Muhammad bin Shalih. (1425H). Syarh Riyad al-Shalihin. Riyadh : Dar al-Watan. j. 3. H. 231.
[vi] Tulisan al-ustaz Yazid, rujuk ; Yazid bin Abdul Qadir Jawas. (2009). Menuntut Ilmu Jalan Menuju Surga. Bogor : Pustaka at-Taqwa. h. 268.
[vii] Al-Sa’di, Abdul Rahman bin Nasir. (1993). Al-Ma’in ‘ala Tahsil Adab al-‘Ilm wa Akhlak al-Muta’allimin. Riyadh : Dar al-Shami’i. hh. 40-41.
[viii] Ibid. h. 28.

Posting Komentar

Al-Quran

Listen to Quran

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP