Diberdayakan oleh Blogger.

About This Blog

" عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه "

قال عبدُ الرَّحمانِ بنُ مهدي : مَنْ أَرادَ أنْ يصنِّفَ كتاباً ، فليبدأ بحديثِ (الأعمال بالنيات )

Lambaian Ikhlasku

MyEm0.Com

Syukur dan Terima Kasih

Selasa, 27 Desember 2011


Hakikat Syukur, berterima kasihlah kepada Allah

Islam adalah agama yang syumul, dan agama yang lengkap merangkumi setiap sapek kehidupan seorang hamba. Ini bermakna dalam setiap aspek tersebut telah ada panduannya yang ditetapkan oleh Islam. aspek yang mahu diketengahkan pada artikel ini adalah aspek kemasyarakatan yang berkait dengan hubungan sosial manusia dengan manusia. Dalam mengharungi kehidupan bermasyarakat telah ditetapkan adab-adab dan aturan berlandaskan syariat antaranya adalah bersyukur dan berterima kasih. Walaupun persoalan ini dilihat remeh tetapi hakikatnya ia adalah persoalan yang cukup penting dan menyentuh hubungan manusia dengan Allah.


Sebagai buktinya, saya membawakan firman Allah s.w.t :

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ (152)

Yang bermaksud : “Maka ingatlah kepadaKu nescaya Aku akan ingat kepada (pula) kepada kamu, dan bersyukurlah kepada ku dan jangan kamu bersikap mengingkari (nikmat)- Ku” (Surah al-Baqarah : 152)

Apa yang dimaksudkan dengan “…dan bersyukurlah kepada ku dan jangan kamu bersikap mengingkari (nikmat)- Ku” Allah memerintahkan supaya bersyukur kepadan-Nya[i]. Tanda syukur kepada Allah s.w.t adalah melakukan ketaatan kepada-Nya, dan mengingkari nikmat Allah adalah dengan melakukan maksiat, barangsiapa yang melakukan ketaatan kepada Allah maka ia bersyukur kepada-Nya, dan barangsiapa yang melakukan maksiat kepada-Nya maka di kufur kepada-Nya[ii].

Kemudian Firman Allah s.w.t yang mengkhabarkan bahawa Allah akan menambahkan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang bersyukur : 

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ (7)

Yang bermaksud : “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (Surah Ibrahim : 7)

            Seterusnya terdapat sepotong hadis yang boleh menjadi penjelasan bahawa tanda syukur seseorang itu pada Tuhannya adalah dengan melakukan ketaatan.

Adalah diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w melakukan qiyamullail hingga bengkak-bengkak kedua kakinya, maka ‘Aisyah bertanya kepada Nabi s.a.w : mengapa kamu melakukan ini wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah mengampunkan dosa engkau yang telah lalu dan yang akan datang? Maka Rasulullah s.a.w bersabda :

أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

Yang bermaksud : “tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?” (Hadis Muttafaq ‘Alaih)

Bersyukur boleh dilakukan dengan tiga cara, iaitu bersyukur dengan hati, lisan dan anggota badan[iii].

Bersyukur dengan hati : berniat baik dan berniat untuk melakukan kebaikan.

Bersyukur dengan lisan : menzahirkan reda kepada Allah s.w.t, ianya adalah perkara yang diperintahkan, sabda Rasulullah s.a.w :

التَّحَدُّثُ بِنِعْمَةِ اللَّهِ شُكْرٌ وَتَرْكُهَا كُفْرٌ


Yang bermaksud : “berbicara akan nikmat Allah adalah syukur, dan meninggalkannya adalah kufur (ingkar)” (Hadis riwayat Ahmad)

Juga terdapat anjuran mengucapkan Alhamdulillah untuk menunjukkan tanda syukur, seperti dalam sebuah hadis berikut[iv] :

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِرَجُلٍ:"كَيْفَ أَصْبَحْتَ يَا فُلانُ؟"قَالَ: أَحْمَدُ اللَّهَ إِلَيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"هَذَا الَّذِي أَرَدْتُ مِنْكَ"

Nabi s.a.w bertanya kepada seorang lelaki : “bagaimana keadaan kamu pagi ini wahai fulan?”, dia menjawab : Aku memuji Allah, kepada kamu wahai Rasulullah, Maka jawab Baginda s.a.w : “inilah yang aku kehendaki daripada kamu” (Hadis Riwayat Ath-Thabrani)[v]

Bersyukur dengan anggota badan : Menggunakan segala nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t dalam melakukan ketaatan, dan tidak menggunakanya untuk mendurhakai-Nya. Dan antara syukur kedua belah mata adalah menutup (tidak menghebahkannnya) setiap aib yang ia lihat pada seorang muslim, dan syukur kedua belah telinga dalah menutup setiap aib yang ia dengar, maka ini termasuk dalam lingkungan syukur anggota badan.[vi]

Jadi hendaklah seseorang muslim ahlu sunnah wal jamaah itu apabila dia memperolehi nikmat daripada Allah bersyukur. Kerana erti kata syukur ini datang selepas kia mendapat nikmat dan kegembiraan, adapun apabila dia menerima ujian dan dugaan, mahupun musibah hendakalah dia bersabar, beramal dan berpegang dengan sabda Nabi s.a.w :

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Yang bermaksud : “Sungguh ajaib urusan seorang mukmin itu, sesungguhnya semua urusannya itu adalah baik, dan tidak begitu bagi seseorangpun kecuali bagi orang mukmin, sekiranya dia ditimpa kegembiraan lalu dia bersyukur, maka itu adalah yang terbaik baginya, dan sekiranya dia ditimpa musibah (kedukaan) lalu dia bersabar, maka itu adalah yang terbaik baginya” (Hadis riwayat Muslim)

Oleh kerana itulah Hatim al-Asam berkata : “Maka pemberian itu datang dalam dua bentuk : pertamanya, pemberian yang datang itu engkau ingini maka wajib untuk engkau bersyukur dan mengucapkan Alhamdulillah. Keduanya pemberian yang datang itu tidak engkau ingini maka wajib engkau redha dan bersabar”[vii]

Kelebihan mengucapkan Alhamdulillah.

            Sabda Rasulullah s.a.w :

وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَآَنِ أَوْ تَمْلَأُ مَا بَيْنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Yang bermaksud : “(menyebut/berzikir) Alhamdulillah itu memenuhi timbangan mizan, Subhanallah dan Alhamdulillah itu keduanya memenuhi antara langit dan bumi” (Hadis riwayat Muslim)

            Sabda Baginda lagi :

أَحَبُّ الْكَلَامِ إِلَى اللَّهِ أَرْبَعٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ

Yang bermaksud : “Perkataan yang paling disukai Allah itu ada empat, Subhanallah (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah), La Ilaha Illallah (tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah), Allahu Akbar (Allah Maha Besar)” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis sabda Rasulullah s.a.w :

إِنَّ اللَّهَ لَيَرْضَى عَنْ الْعَبْدِ أَنْ يَأْكُلَ الْأَكْلَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا أَوْ يَشْرَبَ الشَّرْبَةَ فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا

Yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah meredai seorang hamba yang memakan makanan lalu dia memuji-Nya (mengucap Alhamdulillah) atas (nikmat) makanan itu, atau dia meminum minuman kemudian dia memuji-Nya atas (nikmat) minuman tersebut.” (Hadis riwayat Muslim)

Al-Hasan berkata : “Tidak ada satu nikmat pun kecuali (menyebut) Alhamdulillah adalah yang paling baik daripadanya”.[viii]

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah : setiap apa yang berhubungkait dengan syukur itu ia berhubungkait dengan alhamdu (pujian / Alhamdulillah) tanpa ada percanggahan, dan setiap yang berhubungkait dengan alhamdu ia tentunya berhubungkait dengan syukur tanpa ada percanggahan. Maka sesungguhnya syukur itu terletak (dizahirkan) pada tindakan anggota badan dan alhamdu itu terletak pada hati dan lisan (menyebutnya).[ix]

Sebenarnya, lafaz pujian ini (الحمد) walaupun ianya lafaz syukur sepertimana yang telah disebutkan, ianya juga digalakkan tatkala susah dan mendapat kesempitan.[x] Seperti mana diriwayatkan daripada Ummul mukminin ‘Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w dia berkata : Apabila Rasulullah melihat sesuatu yang dia suka Baginda akan mengucapkan :

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

Yang bermaksud : “Segala puji hanya milik Allah yang mana dengan nikmay-Nya sempurnalah segala kebaikan

Apabila baginda melihat (mendapat) sesuatu yang tidak dia sukai Baginda akan mengucapkan :

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Yang bermaksud : “Segala puji hanya milik Allah dalam segala keadaan” (Hadis riwayat Ibnu Majah)[xi]

Berterima kasihlah antara sesama manusia

Berterima kasih adalah salah satu daripada erti syukur, seperti kefahaman yang telah saya bawakan sebelum ini. Hakikatnya, makna syukur adalah pujian keatas sesorang dengan perbuatannya yang baik dan terpuji.[xii] Ini bermakna apabila kita menerima atau memperoleh kebaikan daripada seseorang hendaklah kita berterima kasih dengan segala bentuk pujian dan penghargaan, dan kebiasaanya kita akan mengucapkan “terima kasih”, ini sudah mencukupi, Wallahu a’lam.

Jadilah sebagai seorang mukmin yang sejati. Berterima kasihlah dalam segala hal, apabila diberi hadiah maka berterima kasihlah, juga berterima kasihlah kepada setiap yang berjasa dalam hidup kita, Ibu bapa, keluarga, para ustaz, guru-guru, orang yang membantu kita, mengajarkan kita walaupun satu ilmu, berterima kasih kepada orang yang menjawab persoalan kita, janganlah bersikap sombong, bongkak dan bodoh dengan meninggalkan sikap berterima kasih bahkan mengingkari kebaikan yang diberikan oleh orang. Na’uzubillah.

Beringatlah wahai umat islam akan sabda Nabi s.a.w :

مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ لَا يَشْكُرُ اللَّهَ

Yang bermaksud : “Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah” (Hadis riwayat Abu Daud, At-Tirmizi {beliau berkata hadis ini hasan shahih} dan Ahmad)

Berkata al-Khattabi : “Hadis ini boleh dita’wil dalam dua bentuk. Pertamanya, sesiapa yang mana kebiasaannya mengkufuri nikmat (yang dia peroleh-pent) dari manusia, dan meninggalkan bersyukur (berterima kasih) atas kebaikan mereka, adalah kebiasaannya dia juga akan mengkufuri nikmat Allah dan meninggalkan bersyukur kepada-Nya”[xiii]

Dan apa yang lebih utama disini adalah barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia bermakna dia tidak bersyukur kepada Allah dan sekaligus dia tidak memenuhi tuntutan agar bersyukur seperti yang telah disebutkan, dia juga tidak akan mendapat kelebihan orang yang bersyukur kepada Allah. Wallahu a’lam

Anjuran untuk mengucapkan terima kasih dengan lafaz Jazakallahu khaira

Diriwayatkan daripada sahabat Usamah bin Zaid bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Yang bermaksud : “Barangsiapa yang dibuatkan (diberikan) kepadanya kebaikan, maka katakan kepada orang yang berbuat baik itu “Jazakallahu khaira” semoga Allah membalas kapadamu dengan kebaikan. Sesungguhnya hal tersebut telah bersungguh-sungguh dalam berterima kasih” (Hadis riwayat At-Tirmizi)[xiv]

Dalam riwayat Imam at-Tabrani pula sabda Nabi s.a.w : 

إذا قال الرجل لأخيه جزاك الله خيرا فقد أبلغ في الثناء

Yang bermaksud : “Apabila berkata seorang lelaki kepada saudaranya “jazakallahu khaira” maka sesungguhnya dia telah bersungguh-sungguh dalam berterima kasih (memberi penghargaan)[xv]

Akhirnya saya berpesan pada diri saya, sidang pembaca khasnya dan umat Islam secara amnya agar bertakwa kepada Allah, bersyukur dan berterima kasihlah.

Oleh : Abu Zaid, Muhammad Ikhlas bin Rosele



[i] Ibn Kathir.(1999). Tafsir al-Quran al-Azhim. Riyadh : Dar Thayyibah. j, 1. h, 465.
[ii] Al-Baghawi. (2002). Ma’alim at-Tanziil. Beirut : Dar Ibn Hazm. h, 74.
[iii] Ibn Qudamah al-Maqdisi. (1997). Mukhtasar Minhaj al-Qasidiin. Beirut : Dar al-Ihya’ al-‘Ulum. H, 328.
[iv] Hadis berikut ini tidak dipetik dari kitab Mukhtasar Minhajul Qasidin, kerana ada perbezaan antara matan hadis ini dengan hadis yang disebut dalam kitab tersebut.
[v] Shahih, dishahihkan oleh al-Albani. Al-Albani, Muhammad Nasiruddin. (1413H). Silsilah al-Ahadith as-Shahihah. Riyadh : Maktabah al-Ma’arif. j, 6. h, 1097-1101.
[vi] Ibn Qudamah al-Maqdisi. Op. cit. H, 328.
[vii] Al-Asbahani, Ahmad bin ‘Abdullah. (1979). Hilyatul Awliya’. Kaherah : Matba’ah as-Sa’adah. j, 8. h, 76.
[viii] Al-Qurtubi, Muhammad ibn Ahmad. (1967). Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Dar al-Kutub al-Mishriyah. j, 1. h, 131.
[ix] Ibn Qayyim al-Jauziyyah. (t.t.). Madarij as-Salikiin. Beirut : Muassasah fu’ad. j, 2. h, 183.
[x] Abdul Razak b. Abdul Muhsin al-Badr. (2005). Fiqh al-Ad’iyyah wa al-Azkar. Riyadh : Wizarah as-Syu’un al-Islamiyyah. j, 1. h, 214.
[xi] Shahih, dishahihkan oleh Syeikh al-Albani. Al-Albani, Muhammad Nasiruddin. (1988). Shahih Jami’ as-Shahih. Beirut : Al-Maktab al-Islami. j, 2. h, 861.
[xii] At-Thabari, Muhammad bin Jarir. (t.t.). Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayy al-Quran. Kaherah : Maktabah Ibn Taimiyah. j, 3. h, 213.
[xiii] Abadi, Muhammad Asyraf bin Amir al-‘Azhim. (t.t.). ‘Aun al-Ma’bud. ‘Amman : Bait al-Afkar. j, 2. h, 2086.
[xiv] Shahih, Dishahihkan oleh Syeikh al-Albani. Al-Albani, Muhammad Nasiruddin. (2000). Shahih at-Targhib wa at-Tarhib. Riyadh : Maktabah al-Ma’arif. j, 1. h, 571.
[xv] Shahih lighairih. Ibid.

0 ulasan:

Poskan Komentar

Al-Quran

Listen to Quran

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP