Diberdayakan oleh Blogger.

About This Blog

" عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه "

قال عبدُ الرَّحمانِ بنُ مهدي : مَنْ أَرادَ أنْ يصنِّفَ كتاباً ، فليبدأ بحديثِ (الأعمال بالنيات )

Lambaian Ikhlasku

MyEm0.Com

HAKIKAT TASAWUF (RINGKAS)

Minggu, 25 April 2010

Hakikat Tasawuf (ringkas)


Pendahuluan.


Segala puji bagi ALLAH tuhan sekalian alam, selawat dan salam keatas junjungan besar Muhammad (s.a.w.), persoalan tasawuf ini adalah satu persoalan yang besar, dan satu persoalan yang sangat banyak perbincangannya, bidang tasawuf ini jugalah terbitnya perbincangan dan pendapat begitu banyak ulama’ yang mempunyai manhaj yang berbeza, dengan kelemahan diri ini saya cuba mencari jalan untuk meringkaskan perbincangan ini, dan lebih menumpukan Hakikat Tasawuf menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah. Untuk mengetahui lebih lanjut saya sebenarnya menyarankan agar membaca buku yang ditulis oleh Ibnul Jauzi iaitu Minhajul Qashidin, ataupun kitab Ibnu Qudamah kitabnya Mukhtasar Minhajul Qashidin[i], dan kitab Ibnul Jauzi iaitu Tablisul Iblis[ii], kitab yang amat bermanfaat untuk memahami ajaran Tasawuf menurut kacamata Ahli Sunnah wal Jamaah, walaupun dalam penulisan ini sengaja saya tidak mengambil kitab tersebut sebagai rujukan. Moga perbincangan ini menjadi pekara yang amat bermanfaat untuk Thalibul Ilmi. ALLAH Musta’an.


Persoalan yang biasa dikemukakan :


Apakah dalam islam ada ilmu tasawuf?


Jawapan saya ada, walaupun gelaran ini tidak disebut pada zaman awal islam, tetapi konsepnya ada dan jelas. Terdapat banyak pandangan dalam tentang maksud sufi dan saya tidak akan menjelaskan disini. Secara kesimpulannya yang dimaksudkan Tasawuf ialah seperti kata Zakaria al-Anshari : ”Tasawuf adalah ilmu yang dengannya diketahui tentang pembersihan jiwa, perbaikan budi pekerti serta pembangunan lahir dan batin, untuk memperolehi kebahagiaan yang abadi” [iii] Maka pentakrifan tersebut tidak ada salahnya, dan benar perkataannya.


Terangkan apakah konsepnya beserta bukti?


Konsep tasawuf secara umumnya adalah penyucian hati, jiwa. Menekankan persoalan batiniyah seperti, ikhlas, mahabah, khauf dan sebagainya, mahupun lahiriyah, seperti akhlak, zuhud dan sebagainya. Semua itu telah pun termaktub di dalam Al-Quran dan as-Sunnah.

Kita lihat tugas Rasul:

Fiman ALLAH (s.w.t);


هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ (2)


Maksudnya: 2. Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata, (surah al-Jumu’ah : 2)


Kesimpulan tugas Rasul yang disebutkan dalam ayat ini:

1- Membacakan ayat-ayat ALLAH

2- Menyucikan diri (membersihkan mereka dari kotoran kekufuran)[iv]

3- Dan mengajar Al-Quran dan As-Sunnah


Juga boleh dilihat dari hadis Nabi (s.a.w):

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَال قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ


Maksudnya: hanyalah Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang tulus. (HR. Ahmad, al-Hakim (hadis ini shahih mengikut syarat Imam Muslim tetapi dia tidak mentkhrijkannya))


Adapun setengah pendapat mengatakan tasawuf ini adalah martabat Ihsan,[v] memang benar, kalau dilihat martabat ihsan didalam Hadis Jibril yang masyhur itu bermaksud, kamu beribadah kepada ALLAH seolah-olah kamu melihat-Nya, sekiranya kamu tidak dapat melihatnya, maka ketahuilah sesungguhnya Dia melihat kamu. Matlamat ahli tasauf adalah taqarrub (mendekatkan) diri kepada ALLAH, dan ini bertepatan dengan maksud Ihsan. Seperti yang dinaqalkan oleh al-Kandahlawi di dalam tulisan beliau ”sebenarnya tarekat merupakan nama lain bagi atau nama kedua kepada ihsan (dalam hadis Jibril a.s itu). Atau ia merupakan jalan yang menerusinya akan terhasil sifat ihsan, ia juga dikenali sebagai tasawuf atau suluk”


Kenyataan yang seperti ini kita dapat lihat merupakan satu pandangan, kerana kenyataan yang kurang konsisten, saya lebih cenderong untuk menyetujui ta’rif yang kedua itu ”merupakan jalan yang menerusinya akan terhasil sifat ihsan” kerana tasawuf merupakan jalan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH s.w.t

Dan sekiranya martabat Ihsan adalah tasawuf maka tidak boleh dinafikan juga suri teladan untuk mengamalkannya perlulah mengikut panduan Rasulullah, mustahil Rasulullah tidak mengajarkan umatnya cara untuk mencapai matlamat yang tinggi itu, sehingga kelihatan orang ramai lebih mengikut dan mengamalkan apa yang tidak datang daripada Baginda, dan nyatalah orang yang berginilah telah membawa diri mereka kepada kesesatan.


Konsep penyucian jiwa


Firman ALLAH (s.w.t) :


وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا (7) فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا (8) قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا (9) وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا (10)


Maksudnya : Dan demi jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, Sungguh beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. (surah Asy Syams: 7 - 10).


Ayat ini menerangkan bahawa keuntungan bagi orang-orang yang menyucikan jiwanya,


قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى (14) وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى (15)


Maksudnya : Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman), dan dia ingat nama Rabbnya, lalu dia sembahyang. (surah Al A'la: 14-15).


Maksudnya disini membersihkan diri dari akhlak tercela dan mengikuti apa yang diturunkan ALLAH kepada Rasul-Nya. Dan mengerjakan solat pada waktunya dengan tujuan mencari keredhaan ALLAH dan dalam rangka mentaati perinyah-Nya serta menjalankan syari’at-Nya.


“saya katakana bahawa kami meriwayatkan dari Amirul Mu’minin ‘Umar bin Abdul ‘Aziz, dimana dia telah memerintahkan orang-orang untuk mengeluarkan zakat fitrah dan membacakan ayat ini: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman), dan dia ingat nama Rabbnya, lalu dia sembahyang”. [vi]


Sepertimana yang telah disebutkan diatas tadi bahawa Tazkiyatun Nufus ini termasuk dalam perbincangan Ihsan, iaitu martabat tertinggi dalam agama Islam seperti yang tertulis dalam sebuah hadis yang masyhur atau dikenali sebagai hadis Jibril. Disini saya juga bawakan satu Hadis yang bermaksud:


“Tiga perkara, barangsiapa mengerjakannya, maka ia pasti merasakan lazatnya iman. Iaitu (pertama), seseorang yang menyembah Allah semata-mata, bahawa tidak ada sesembahan yang hak, kecuali hanya Dia. (Kedua), ia membayarkan zakat mal-nya setiap tahun dengan jiwa yang rela, ia tidak membayarkan (haiwan) yang sudah tua, tidak yang kurus, dan tidak pula yang sakit, tetapi (ia membayamya) dari pertengahan harta kalian, karena Allah tidak meminta kepadamu harta yang terbaik dan tidak memerintahkan dari harta yang jelek, dan, (Ketiga), ia mensucikan dirinya. Maka seseorang bertanya, "Apakah tazkiyatun nufus itu?" Beliau menjawab, "la mengetahui(meyakini), bahawa Allah selalu bersamanya dimanapun ia berada."

(HR. Thabrani dalam Ash Shagir dan Baihaqi dalam Sunan. Dishahihkan oleh Al Albani dalam Ash Shahihah,1046.)


Kemudian ALLAH Ta’ala berfirman : “tetapi kamu memilih kehidupan duniawi” Artinya kalian lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat. “sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal”. Maksudnya, pahala ALLAH di alam Akhirat itu lebih baik daripada dunia dan lebih kekal, kerana dunia itu sangat hina dan fana sedangkan akhirat itu mulia lagi kekal abadi. Bagaimana mungkin seorang yang berakal akan mengutamakan sesuatu hal yang fana atas yang abadi serta hanya memerhatikan hal-hal yang akan hilang dengan cepat dan tidak memperhatikan hal-hal yang ada di alam kekal abadi.”


Hakikat Tasawuf [vii]


Untuk mempermudahkan pengertian tentang Tasawuf, ada baiknya bila disini dikemukakan perihidup Rasulullah dan para sahabat-sahabat baginda yang pada umumnya perihidup zaman itu disifati dan dipandangi dengan hidup Tasawuf. Tujuan hidup mereka tidak didasarkan kepada nilai-nilai kebendaan dan kemegahan tetapi nilai-nilai ibadah. Ini dikeranakan mereka memandang akhirat itu lebih baik daripada kehidupan dunia. Kehidupan mereka dapat diperincikan antara lain sebagai berikut :


1- Hidup Zuhud

2- Hidup Qanaah

3- Hidup Taat (pada melakukan suruhan dan meninggalkan larangan)

4- Hidup Istiqamah

5- Hidup Ikhlas

6- HidupUbudiyah


Antara perbincangan tasawuf juga adalah seperti berikut :


1- Taubat

7- Sabar

2- Muhasabah

8- Wara’

3- Khauf (Perasaan takut)

9- Zuhud

4- Raja’ (Pengharapan)

10- Redha

5- Siddiq (Jujur)

11- Tawakal

6- Ikhlas

12- Syukur


Ini kerana, Pada prinsipnya ajaran tasawuf adalah perbaikan hati, penyembuhannya dari segala macam penyakit, dan penghiasannya dengan sifat-sifat sempurna.[viii]


Tidak dinafikan pekara ini dan sesungguhnya senarai itu tepat sekali, tetapi hendaklah menjauhkan sifat Ghuluw dalam mengamalkannya, sehingga yang tidak diamalkan oleh Rasulullah dan para sahabat pun dicipta, pekara seperti inilah yang dianggap bida’ah, terlalu banyak pekara yang kita ambil konsepnya daripada Rasulullah (s.a.w) tetapi cara perlaksanaannya jauh menyimpang dari tuntutan.


Adapun Ghuluw yang dimaksudkan Adalah : Ghuluw bermaksud melampaui batas [ix] sedangkan ghuluw dalam beragama bermaksud : melampaui apa yang dikehendaki syariat baik dalam keyakinan, mahupun amalan. (mu’jamu Maqayis 4/388).[x]


Kesimpulannya sikap Ghuluw ini adalah haram dan dilarang dalam islam berdasarkan dalil yang kukuh dan tsabit.


Antaranya :


Fiman ALLAH (s.w.t) maksudnya : "Wahai Ahli kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara yang tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dan (kerana) mereka telah menyesatkan banyak orang, dan mereka pun tersesat dari jalan yang lurus." (Al Maidah: 77) Ayat serupa ada dalam surat An Nisa: 171. (sila lihat tafsir at-Tabari dan tafsir Ibn Katsir)


Daripada Hadis Nabi (s.a.w) :


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ فَإِنَّهُ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ


Yang bermaksud : Wahai sekalian manusia, jauhilah oleh kamu akan Ghuluw (melampau-lampau) dalam agama, sesungguhnya telah binasa mereka-merka sebelum kamu kerana bersikap Ghuluw dalam agama. (Diriwayatkan Ibn Majah an-Nasa’i dan Imam Ahmad).


Dan banyak lagi yang saya tidak nyatakan disini.


Apakah ada metod (manhaj) yang khusus dalam bidang tasawuf?


Ya semestinya ada, ketahuilah jikalau tasawuf itu sebahagian dari agama, sudah tentu penghulunya adalah Rasulullah (s.a.w), dan mana-mana manhaj dalam agama semestinya bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah, begitu juga ilmu tasawuf, jikalau manhaj ilmu tasawuf ini datang dari manusia selain Rasul, mereka mencipta jalan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH pekara tersebut bukanlah agama, bahkan apa yang mereka sampaikan itu tidak lain nafsu dan akal fikiran dan tidak lain hanyalah kesesatan.


Sudah jelas ayat yang saya bawakan diatas menunjukkan bahawa Rasulullahlah yang menyucikan hati dan dengan apa yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah lah panduan untuk kita mendekatkan diri kepada ALLAH. Persoalan yang sering timbul adalah cara-cara yang diajarkan oleh mana-mana ’syeikh’ yang tidak ada asasnya dari dua sumber yang agung itu. Saya yang lemah ini menolaknya, kerana syariat dan intisari ajaran agama keseluruhannya telah terhenti, maka perlulah setiap perkara berkaitan ibadah perlu merujuk kembali dua sumber yang agung berdasarkan fahaman Salafussoleh.


Saya nak bawakan dua analogi mudah, contohnya sebuah kereta, seseorang akan membaikinya kerana semestinya kereta itu rosak, seseorang akan menambahkan baik, atau menambah bahagian tertentu pada kereta itu sudah semestinya pada pandangannya kereta itu kekurangan atau tidak lengkap, atau seseorang itu ’overhall’ atau ’renovate’ atau sebagainya semestinya kerana kereta itu tidak cantik.


Dan apabila seseorang itu membaiki, menambah baik, menambah-nambah, overhall, renovate, upgrade dan sebagainya dalam agama islam, adakah islam itu rosak, tidak lengkap, tidak sempurna, tidak cantik atau masih kurang? Jauhilah kamu dari perkara ini yakinlah dengan Fiman ALLAH s.w.t:


الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِإِثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (3)


Maksudnya: ...Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(surah Al-Maidah; 3)

Tafsir Ibn Katsir: Telah berkata Ali bin Abi Talhah(sighar at-tabi’in): ”telah Kusempurnakan agama kamu” adalah islam, ALLAH telah mengkhabarkan kepada Nabi-Nya s.a.w dan orang mu’min bahawa telah sempurna iman mereka, tidak memerlukan sebarang penambahan selama-lamanya, sungguhnya ALLAH telah melengkapkan tanpa dikurangi selama-lamanya, sesungguhnya telah diredhai ALLAH (agama itu).


Apakah ini masih tidak jelas bagi mereka, ayat ini menjadi syahid bahawasnya tiada kurangnya agama ini tidak perlu ditambah mahupun dikurang, janganlah kamu menjadikan hawa nafsu sebagai ikutan, rujuk kembali hadis-hadis Nabi berkaitan Akhlak, berkaitan Ihsan, berkaitan Zikir dan Ibadah Tatawu’ (sunat), tidak perlu direka perkara lain, lihat mereka yang telah dijamin masuk syurga, hanyasalah mereka taat kepada ALLAH dan Rasul, mereka mengikut apa yang telah dipedomankan. Arahkan hawa nafsu mengikut apa yang Rasulullah bawa,


عن عبد الله بن عمرو ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعا لما جئت به


Maksudnya: tidak sempurna iman seseorang dari kalangan kamu sehingga hawa nafsunya mengikuti apa yang Aku bawa dengannya. (diriwayatkan dalam kitab Al-Ibanah Al-kubra, dipetik dari Matan Arbaien hadis ke 41, Imam An-Nawawi (kami riwayatkan dari kitab al-Hujjah dengan sanad yang Shahih))


Ketahuilah kita tidak boleh mengikut jalan lain untuk mendekatkan diri kepada ALLAH, kerana itu akan membuatkan kita jauh dan tersesat, jalan yang sepatutnya kita lalui adalah satu jalan yang lurus yang telah digariskan oleh Rasulullah (s.a.w), sebagaimana yang dapat kita fahami dari hadis Baginda (s.a.w) :


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا ثُمَّ قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ سُبُلٌ قَالَ يَزِيدُ مُتَفَرِّقَةٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ

{ إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ }


Maksudnya : Daripada Abdullah bin Mas’ud berkata : Rasulullah telah membuat satu garis lurus kepada kami, kemudian Baginda (s.a.w) bersabda : Ini adalah jalan ALLAH, kemudian Baginda (s.a.w) menulis banyak garis sebagai cabang di sebelah kanan dan kiri garis lurus tersebut, kemudian bersabda : ini adalah jalan-jalan (simpang) pada setiap jalan tersebut ada syaitan yang menyeru kearahnya kemudian membaca :


Firman ALLAH s.w.t maksudnya: dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) [maksudnya : janganlah kamu mengikuti agama-agama dan kepercayaan yang lain dari islam, Mujahid mengertikan ”assubul” dengan segala macam bid’ah dan jalan-jalan yang tidak benar] kerana jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan. (Ibn majah, ahmad dan al-Hakim)


Saya juga ingin memetik kata Imam Ibn Qayyim :

”Dan Tazkiyatun Nufus itu : lebih payah daripada mengubati badan dan lebih sulit, maka barangsiapa berusaha mensucikan diri dengan jalan riyadhah, mujahadah dan khalwat yang tidak diterangkan oleh Rasul : maka ia seperti seorang yang sakit mengubati dirinya sendiri dengan pendapatnya sendiri (bahkan seperti orang yang mengubati diri sendiri dengan kebodohan diri), dan dimanakah letak pendapatnya itu dibandingkan Ilmu seorang doktor?, maka Para Rasul adalah Doktor (pengubat) hati dan jiwa. Dan tidak ada jalan untuk menyucikan hati dan memperbaiknya kecuali dengan mengikuti jalan-jalan mereka (para Rasul). Di atas bimbingan mereka dengan penuh kepatuhan dan kepasrahan kepada mereka (kerana mereka menyampaikan apa-apa yang dari ALLAH, dan ALLAH bersama mereka Memerhati dan Menolong).” [xi]


Abu al-Qasim al-Junayd (m. 297H.) menjelaskan : ”Semua jalan (jalan ke arah menghayati ilmu tasawuf) tertutup kepada semua orang, melainkan bagi orang yang sentiasa mengikuti jejak Rasulullah s.a.w, berpegang teguh pada suri teladan Baginda serta sentiasa melazimi gaya hidup Baginda; bagi orang yang sedimikian (sifatnya) jalan (menghayati ilmu tasawuf) terbuka luas kepadanya” [xii]


Abu al Qasim juga menjelaskan : ”sesiapa yang tidak menghafaz al-Quran dan tidak menulis hadis adalah tidak diikuti dalam urusan ini (ilmu tasawuf), kerana ilmu kami terikat kemas dengan al-Kitab dan al-Sunnah”[xiii]


Wallahu a’lam


Oleh Abu Zaid Muhammad Ikhlas Bin Rosele


Rujukan:

Al-Quran

Al-Hadis

Tafsir Ibn Katsir

Ibn Daqiiq al-‘Ied,terjemah Abu Umar Abdillah Asy-Syarif. Syarah Hadith Arba’in, Indonesia, Pustaka at-Tibyan.

Ibn al-Qayyim al-Jauziyah. (1973). Madarij as-Salikin, Juz. 2, m/s 315. Beirut, Lubnan : Dar Al-Kitab Al-’Arabi.

Al-Fauzan, Syeikh Shalih bin Fauzan. (1426H). Hakikat Taswuf : Pandangan Tasawuf Tentang Pokok-Pokok Ibadah dan Agama. (Abdullah Haidir trans.). [pdf version]. http://www.islamhouse.com

Zakaria Stapa & Mohamed Asin Dollah.2001. Islam Akidah dan Kerohanian, edisi ketiga. Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Al-Shaikh Muhammad Zakaria al-Kandahlawi. 1399H. Al-Shari’ah wa al-Tariqah. Mesir. Dar al-Rashid

Abdul Qadir Isa. (2005). Hakekat Tasawuf. (Khairul Amru Harapap Lc., MHI dan Frizal Lubis Lc trans). Judul asli Haqaiq at-Tasawuf. Jakarta : Qisthi Press. (Original Work Published nd.)

Abu Umar Basyir. (2004). Apa dan Bagaimana Ghuluw (sikap berlebihan), (m/s 2) [pdf version]. http://www.vbaitullah.or.id.

Yusuf Hj. Wanjor. (2003). Tasuf-Tarekat : Suatu Huraian Ringkas, (m/s 4-5). Selangor, Malaysia : Thinker’s Library Sdn Bhd.

Nota Kaki :



[i] Ibnu Qudamah. (1997). Minhajul Qashidin (jalan orang-orang yang mendapat petunjuk). (Kathur Suhardi terj.). Jakarta : Pustaka Al-Kautsar. (judul asli diterbitkan pada 1989).

[ii] Ibnul Jauzi, Jamaluddin Abi al-Faraj. (nd.). Tablis Iblis. Kaherah : Maktabah Al-Mutanabbi. Atau Ibnul Jauzi. (1998). Perangkap Syetan. (Kathur Suhardi terj.). Jakarta : Pustaka al-Kautsar. (judul asli diterbitkan pada 1983).

[iii] Zakaria al-Anshari (wafat 929 H). Ta’liqat ’ala ar-Risalah al-Qusyiriyyah. Lihat, Abdul Qadir Isa. (2005). Hakekat Tasawuf, (m/s 4). (Khairul Amru Harapap Lc., MHI dan Frizal Lubis Lc trans). Judul asli Haqaiq at-Tasawuf. Jakarta : Qisthi Press. (Original Work Published nd.)

[iv] Ibn Jarir at-Tabari, (200). Jami’ul Bayan fi Ta’wil al-Qur’an. Maktabah asy-Syamilah.

[v] Zakaria Stapa. (2001). Mengenal Unsur Taswuf yang Menyeleweng dalam Buku Agama (pp. 191-193). In Zakaria Stapa, Mohamed Asin Dollah (Eds). Islam Akidah dan Kerohanian. Bangi : UKM.

[vi] Ibn Katsir. (2008). Tafsir Ibnu Katsir, jil 8, m/s 453-454. (M. Abdul Ghoffar E.M, Abu Ihsan al-Atsari terj.). Indonesia : Pustaka Imam As-Syafi’i. (judul asli dirterbitkan pada 1994).

[vii] Yusuf Hj. Wanjor. (2003). Tasuf-Tarekat : Suatu Huraian Ringkas, (m/s 4-5). Selangor, Malaysia : Thinker’s Library Sdn Bhd.

[viii] Abdul Qadir Isa. (2005). Hakekat Tasawuf, (m/s 190). (Khairul Amru Harapap Lc., MHI dan Frizal Lubis Lc trans). Judul asli Haqaiq at-Tasawuf. Jakarta : Qisthi Press. (Original Work Published nd.)

[ix] Abu Umar Basyir. (2004). Apa dan Bagaimana Ghuluw (sikap berlebihan), (m/s 2) [pdf version]. http://www.vbaitullah.or.id.

[x] Ibid.

[xi] Ibn al-Qayyim al-Jauziyah. (1973). Madarij as-Salikin, Juz. 2, m/s 315. Beirut, Lubnan : Dar Al-Kitab Al-’Arabi.

[xii] As-Sullami, Abu ’Abd al-Rahman. (1969). Tabaqat al Sufiyyah, m/s 159. Ed. Nur al-Din Sharibah. Kaherah : Maktabat al-Khanaji. Lihat, Zakaria Stapa. (2001). Mengenal Unsur Taswuf yang Menyeleweng dalam Buku Agama. In Zakaria Stapa, Mohamed Asin Dollah (Eds.). Islam Akidah dan Kerohanian, (m/s. 204). Bangi : UKM.

[xiii] al-Qushayri, Abd. Al-Karim bin Hawazin. (1991). Al-Risalah al-Qushayriyyah fi ’Ilm al-Tasawuf, m/s 431. Ed. Ma’ruf Zariq, ’Ali Abd al-Hamid Baltaji. Beirut : Dar al-Khayr. Lihat op cit, Zakaria stapa, (pp. 204).

Read more...

GOOD LUCK!!!

Rabu, 14 April 2010


Kopi (kapal api) sudah siap dibancuh, “kali ini aku tak akan tidur, orang cakap minum kopi boleh hilangkan rasa mengantuk”, bisikku. Lalu buku-buku dikeluarkan dan diletak di atas meja.


Jam di atas meja menunjukkan pukul 1.00 a.m. terasa sunyi menyelubungi bilik. “roommate aku ni, time dekat exam ni pun masih tidur lena” aku berbicara sendirian lantas terus menyambung ulangkajiku bertemankan lampu meja.


Biasanya waktu malam beginilah adalah waktu sesuai untuk menghafal, udara yang sejuk, suasana pun tenang, aku pun membuka buku untuk dihafal, “ah baru nak mula menghafal, sebelum ni , buka buku pun time dalam kelas je” aku merungut tanda menyesal.


“ah kopi dah habis pulak, baru pukul 2 pagi” aku pun keluar untuk mengambil air panas dari water cooler untuk membancuh kopi baru.


Udara sejuk di luar menyelubungi aku, suasana kelam dan sunyi membuatkan aku berasa sedikit seram sejuk. “Chrot… chrot” bunyi selipar jepunku yang basah meneruskan langkah kearah water cooler, tatkala aku melalui pintu tandas yang kebetulan terletak diantara bilikku dengan water cooler, terlintas di fikiranku untuk membasuh muka untuk menghilangkan mengantuk. Aku pun mengubah arah memasuki tandas.


Tiba-tiba aku terdengar bunyi air paip terpasang, bunyi itu tepat di dalam tandas no 3 yang pintunya tertutup, “siapa pulak main air dalam tandas pagi-pagi ni?” fikirku. Aku pun menghampiri tandas tersebut untuk memeriksa. Aku menolak dedaun pintu….. “sreet….”… “argh…” marah hatiku, kerana tidak ada orang dan paip terpasang, “ini membazir, ingat duit bapa dia yang bayar bil air ini” rungutku. Walaupun sudah di Universiti amalan membazir dikalangan mahasiswa makin menjadi-jadi. Setelah membasuh muka aku keluar dan mengambil air panas. Lalu aku membancuh kopi kapal api (kaw kaw).


Aku meneruskan ulangkaji sehingga azan subuh berkumandang, selesai menunaikan solat subuh, aku memutuskan untuk berehat sebentar,, aku pun baring dan terlelap.


“Bangun!!, bangun!” suara roommate ku memecah mimpi indah. Aku pun membuka mata dan ternyata waktu itu sudah pukul 2 petang… “haha” aku ketawa sendirian, “alangkah baiknya aku tidur malam tadi, dan ulangkaji selepas subuh, udara pun segar” bisikku. Sekian… :-)


Cerita di atas hanyalah imaginasi… :-)

Study Smart


SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN (TERUTAMA WARGA UM)


Dari MENCARI KEBENARAN

Read more...

Al-Quran

Listen to Quran

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP