Diberdayakan oleh Blogger.

About This Blog

" عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه "

قال عبدُ الرَّحمانِ بنُ مهدي : مَنْ أَرادَ أنْ يصنِّفَ كتاباً ، فليبدأ بحديثِ (الأعمال بالنيات )

Lambaian Ikhlasku

MyEm0.Com

SYAIR PILIHAN = (Ibn Daqiiq)

Kamis, 29 Oktober 2009


Cool Myspace Generators

Read more...

"SHARING IS CARING"

Minggu, 25 Oktober 2009



“Sharing Is Caring”

Sinonim dengan kata hikmah di atas, tujuan saya meletakkan tips ini adalah untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat pembaca blog, kerana saya juga masih lagi “student” dan saya pun akan menghadapi peperiksaan dan mungkin saya juga akan menghadapi situasi yang biasa dialami orang di saat “exam”, dan saya rasa tidak menjadi satu kesalahan saya memberi tips-tips yang di mana saya dan pembaca boleh mengambil manfaat, dan sekiranya ia tidak memberi manfaat maka tinggalkan.


Stress???

Stress adalah satu masalah yang sering berkunjung di saat-saat genting, dan ia akan mengakibatkan masalah yang kita hadapi lebih besar, begitu juga ketika hamper exam, apabila kita stress maka waktu yang sepatutnya kita manfaatkan untuk “study” akan di bazirkan, saya ingin berkongsi 3 tips mudah untuk menangani stress:

1- Ambil wudu’ dan solat: memang tidak dapat dinafikan sekiranya kita menghadapi masalah jalan penyelesaian yang terbaik adalah berdoa kepada ALLAH, dan wudu’ juga dapat menghilangkan rasa marah mahupun tekanan.

2- Menenangkan diri: apabila kita stress ambillah sedikit rehat, minum air, ataupun tidur, carilah pekara yang dapat membuatkan pemikiran tenang seperti menonton televisyen dan sebagainya.

3- Membuat sedikit renggangan badan dan otot: sesorang yang mengalami stress akan mengalami ketegangan otot dan urat maka senaman ringan ataupun renggangan amatlah digalakkan.


Persediaan 1 Minggu Sebelum Peperiksaan:

1- Memperbanyakkan doa.

2- Buat nota, mengikut kekreatifan anda, kalau dah buat lagi bagus.

3- Baca nota dan peta minda dengan merujuk buku teks.

4- Amalkan cara hidup yang sihat, elakkan dari membuat aktiviti yang merbahaya mahupun tidak sihat.

5- Pastikan tidur dan makan yang mencukupi.

6- Buat “study group” adalah jalan yang terbaik.

7- Rujuk kertas soalan peperiksaan lepas.

8- Rujuk jadual peperiksaan.

9- Utamakan yang lebih utama.

10- Kawal emosi anda.

MASALAH!!!

Terlalu banyak untuk dibaca sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Buat tinjauan. Berikan masa untuk anda membuat tinjauan keseluruhan topik. Kenalpasti topik-topik penting. Fahami konsep-konsep penting. Pastikan topik yang anda maih belum faham. Mulakan belajar topik yang penting-penting dahulu. Mana-mana topik yang kurang penting, dan tidak sempat diulangkaji sepenuhnya, fokus hanya kepada fakta-fakta utama. Tetapi ingat, tinjauan hanya boleh membantu sekiranya anda benar-benar sudah tidak punya masa. Kalau anda masih sempat membacanya, maka bacalah dengan terperinci

Terlalu banyak untuk dihafal dan diingat.

Penyusunan maklumat. Maklumat dan fakta-fakta dapat dikeluarkan dengan lebih baik sekiranya ia dibaca, dihafal dan disimpan dalam bentuk yang sistematik. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh anda guna untuk menyusun maklumat atau fakta ini, antaranya ialah:

Tuliskan rangka setiap bab yang dibaca atau ringkasan tentangnya. Perhatikan perkaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam tajuk tersebut. Cuba kumpulkan maklumat kepada beberapa kategori berdasarkan persamaan yang ada. Cuba bahagikan kepada hieraki (sekiranya ini boleh dilakukan). Pemetaan maklumat. Cuba lakarkan peta konsep bagi menyusun bahan-bahan yang ada perkaitan. Misalnya kalau anda sedang membaca sejarah tentang perang dunia kedua, anda mungkin boleh buatkan satu carta tentang semua negara yang terlibat. Kemudian senarai isu penting atau peristiwa penting disebelah carta tersebut. Anda mungkin kaitkan kembali isu/perkara penting ini dengan negara-negara tersebut berdasarkan kepentingan dan kesan ke atas mereka.


Fikiran Positif vs Fikiran Negatif

Contoh pemikiran yang negative:

Merasakan diri belum bersedia.

Cepat menyerah kalah sebelum berjuang, bila kita menganggap satu subjek itu susah, kita akan tinggalkan.

Harapan Ibubapa terlalu tinggi, dan anda tidak mampu mencapainya, lalu anda tertekan.

Jadilah seseorang yang berfikiran positif:

"من جد وجد"

"Sedikit pencapaian itu lebih baik dari tiada pencapaian langsung".

"Something is better than nothing"

"If you can't see it, you can't have it".


Persediaan sebelum hari peperiksaan;

1- Study semula subjek yang akan dihadapi esok.

2- Buat sedikit perbincangan dengan kawan-kawan.

3- Sediakan kelengkapan peperiksaan dan pastikan ianya mencukupi.

4- Tidur awal.

5- Berdoa dan bertawakal.

Hari Peperiksaan:

1- Bangun awal.

2- Study diwaktu pagi adalah lebih elok.

3- Makan sarapan yang berkhasiat dan manis.

4- Banyakkan minum air mineral atau susu.

5- Berpakaian kemas dan memakai wangi-wangian.

6- Datang awal ke dewan peperiksaan.

7- Pastikan membawa barang yang penting untuk dibawa masuk, seperti slip, kad pengenalan dsb.

8- Berdoa dan bertawakal.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat maju jaya, dan selamat menduduki peperiksaan, dan doakan saya supaya berjaya!!!

Read more...

JADUAL KULIAH MAGHRIB KOLEJ KEDIAMAN KE-5 UM

Selasa, 20 Oktober 2009

Read more...

Public Speaking, satu ‘methodology’ dakwah edisi 2

Selasa, 13 Oktober 2009


Contohilah Rasulullah.

Dalam Edisi ke-2 ini saya nak membawa sidang pembaca sekalian melihat bagaimana junjungan besar Rasulullah s.a.w berucap, tidak lain adalah bertujuan untuk kita menjadikan Rasulullah sebagai ikutan sebagaimana difirmankan ALLAH s.w.t di dalam al-Quran:

{ لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (21)}

Maksudnya: 21. Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.(surah al-Ahzab:21)

Disinai saya memetik dua buah hadis yang terdapat di dalam kitab Syamail Muhammadiyyah oleh Imam At-Tirmidzi, iaitu:

عن عائشة ، قالت : ما كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يسرد سردكم هذا ، ولكنه كان يتكلم بكلام بين فصل ، يحفظه من جلس إليه

Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan: Maksudnya: Rasulullah saw, tidak pernah berbicara seperti cara kalian berbicara yang sangat cepat ini. Beliau selalu berbicara dengan yang jelas dan terperinci sehingga orang-orang yang duduk bersama beliau dapat menghafalnya. (riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Abu Daud, Abu Syaikh)

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعِيدُ الْكَلِمَةَ ثَلَاثًا لِتُعْقَلَ عَنْهُ

Anas ibn Malik r.a meriwayatkan: Maksudnya: Rasulullah saw, mengulangi perkataan beliau tiga kali agar bias difahami (oleh pendengarnya) (riwayat At-Tirmidzi dan Hakim)

Dapatlah disimpulkan dari dua hadis tersebut bahawa seseorang yang mahu bergelar “public speaker” atau daie hendaklah:

1- berkata-kata/menyampaikan ucapan dengan kadar yang sederhana tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, kerana apabila kita berucap terlalu cepat kemungkinan besar siding pendengar akan kehilangan atau keciciran fakta dan tidak dapat memahami ucapan yang kita sampaikan dan telah membuktikan bahawa pengucapan kita bukanlah di tahap yang cemerlang atau baik. Begitu juga sekiranya kita berucap terlalu perlahan, ini akan mengakibatkan sidang pendengar menjadi bosan atau hilang tumpuan.

2- Setiap isi-isi ucapan, fakta ataupun hujah hendaklah diperincikan atau dijelaskan secara terpeinci dan ditil supaya sidang pendengar dapat memahami apa yang kita sampaikan dan objektif pengucapan kita tercapai.

3- Seharusnya kita berucap, hendaklah kita menggunakan bahasa yang mudah difahami atau lebih tepat dengan bahasa baku, hadis diatas menunjukkan bahawa Rasulullah berbicara sehingga sahabat dapat menghafalnya, menunjukkan penggunaan bahasa Rasulullah dapat di fahami oleh para sahabat dengan mudah sehingga cepat mereka dapat menghafalnya.

4- Mengulangi perkataan, ketika berucap hendaklah kita menyebut isi-isi penting dengan jelas dan diulang ditengah-tengah huraian atau di akhir huraian supaya sidang pendengar tidak alpa dan tidak lupa akan isi yang kita sampaikan.



"Half the world is composed of people who have something to say and can't; the other half have nothing to say and keep saying it."


Apa Perlu Ada Pada Penyampai & Pendakwah.

1- Ilmu: Seseorang akan bercakap mengenai ekonomi sekiranya dia pakar dalam bidang ekonomi, juga seseorang akan bercakap mengenai agama sekiranya dia pakar dalam bidang tersebut, sekiranya mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka tidak tahu atau pakar nescaya mereka sesat dan akan menyesatkan. Kita hayati firman ALLAH s.w.t yang bermaksud:

36. Dan janganlah kamu mengikuti* apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya (surah Al-Isra’: 36).(*menurut tafsir Ibn Katsir m/s 285: kata Ali bin Abi Talhah, daripada Ibn Abbas r.a: maksudnya adalah jangan bercakap atau berkata-kata. Dan menurut Qatadah: jangan kamu bebicara: aku telah melihat sedangkan kamu tidak melihatnya, aku telah mendengar sedangkan kamu tidak mendengarnya, dan mengatakan aku mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya.)

Maka kesimpulan dari ayat ini janganlah berkata-kata atau menyampaikan hujah sedangkan kita tidak berilmu tentangnya.

2- Yakin: Perlu yakin, contohnya yakin dengan kemampuan yang ALLAH s.w.t kurniakan, yakin dengan usaha dan persediaan yang telah lakukan, dan yakin hasilnya adalah setimpal dengan apa yang kita usahakan, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui.

3- Berani: Janganlah kita berasa gentar tatkala kita berbicara tentang kebenaran, tatkala kita memberitahu umat manusia jalan yang lurus, kerana takut dan gelisah terhadap manusia atau berhadapan dengan manusia ini biasanya tatkala kita telah berbuat kesalahan.


4- “Positive Thinking”: sebagaimana yang telah saya sebutkan, kita perlu mencampakkan sifat “Husnu Dzan” yakni prasangka baik kedalam diri kita, contohnya kita memikirkan sidang pendengar sedia dan menanti-nanti saat kita menyampaikan dan mereka sedia menerima ilmu, sekiranya kita memikirkan atau merasakan pendengar bukanlah sedia menerima ilmu tetapi mereka sedia memberi kritikan dan tentangan nescaya semangat, keyakinan & keberanian akan luntur.

5- Akhlak & Penampilan yang Baik: Dah tentunya mata sidang pendengar akan menfokuskan penampilan penyampaian dan sudah tentulah akhlak penyampai juga menjadi kayu ukur untuk menilai kekuatan isi dan hujah. Dan kita digalakkan untuk menunjukkan akhlak islamiah dimana sahaja, dalam apapun keadaan, dan Rsulullah menganjurkan kita supaya bergaul dan bersosial dengan manusia dengan akhlak yang baik, sebagaiman sabda Baginda yang bermaksud: “dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik” (riwayat At-Tirmidzi), kerana akhlak dan penampilan yang baik akan mempengaruhi keberkesanan penyampaian, dakwah atau sebagainya.

6- Ikhlas: Ikhlaskan dirimu segala usaha, matlamat dan sebagainya adalah kerana ALLAH.


Pengucapan & Penyampaian yang Berkesan.

Seterusnya kita melihat apakah yang perlu ada pada penyampai untuk pengucapan yang berkesan, tips-tips ini saya rujuk dari beberapa rujukan yang membincangkan perihal “public speaking” dan saya olahkan juga mengislamisasikan penghuraian terhadap tips-tips tersebut, insyaALLAH.

“Anyone can give a speech. Not everyone can give an effective speech.” (Lenny Laskowski {Speaker profesional antarabangsa dan penulis buku “10 Days to More Confident Public Speaking”})

Untuk mencapai pengucapan/penyampaian yang berkesan perlulah kita melihat kepada 6 perkara:

  • Persediaan yang cukup: persediaan dari sudut fakta yang kukuh, isi dan teknik penghuraian yang terbaik dan sebaiknya sebelum melakukan pengucapan awam dikhalayak ramai pastikan buat latihan di hadapan cermin atau merakam ucapan tersebut.
  • Sampaikan ucapan dengan cara tersendiri: selitkan contoh dan cerita, sebaiknya selitkan cerita-cerita yang terdapat di dalam al-Quran dan Hadis termasuk kisah-kisah hidup para sahabat,untuk memudahkan anda dicadangkan merujuk buku Ustz Zahazan yang bertajuk “101 kisah dan pengajaran daripada Al-Quran dan Al-Hadis dan Hayatus Sahabah” dan kitab-kitab lain.
  • Tenang: jadilah seorang yang sabar jangan cepat gelisah dan terlalu banyak berfikir pekara yang negative, islam menggalakkan kita supaya bersifat “Husnu Dzan” iaitu berfikiran positif supaya kita sentiasa tenang, supaya perkara yang negative tidak terbawa ketika pengucapan.
  • Selitkan sedikit jenaka (sebaik-baiknya spontan). Tetapi ingat jangan selitkan lawak “bodoh” atau kosong dan tidak bermanfaat, sebaik-baiknya membuat jenaka berasaskan fakta atau kebenaran sebagaimana dalam sebuah hadis yang bermaksud: “para sahabat berkata, ‘wahai Rasulullah, engkau mencandai kami.’ Rasulullah saw. Menjawab, ‘aku tidak akan pernah mengatakan sesuatu yang tidak benar.’ “ (riwayat Bukhari, At-Tirmidzi, dan Ahmad)
  • Rancang pergerakan badan dan tangan: pergerakan badan juga adalah salah satu faktor yang dapat menunjukkan kita bersedia, yakin dan bersistematik ketika berucap, tetapi dicadangkan kita tidak terlalu memperbanyakkan pergerakan, contoh yang sesuai adalah, kita menggerakkan badan ke kiri dan ke kanan selain dari menghadap ke hadapan, dan jangan membelakangi pendengar.
  • Perhatikan pekara berikut: pastikan lokasi yang akan anda sampaikan ucapan, pastikan tempat dan kedudukan untuk penyampaian, pastikan jumlah pendengar yang hadir, dan bawa semua kelengkapan yang di perlukan, dan tepati masa dan sampai ke lokasi awal untuk persediaan.

Namun perkara yang tersenarai di atas tidaklah terlalu dikhususkan kepada pengucapan yang formal dan eksklusif, ianya amat berkesan sekiranya diaplikasikan dalam medan yang sesuai dalam tujuan dakwah, seperti di rumah, berbual, berbincang, dan sebagainya dalam konteks dakwah.


Wallahu a’lam

http://www.ljlseminars.com/catalog.htm

Tafsir Ibn Katsir

Maktabah Syamilah: kitab-kitab matan hadith.

Muhammad Haniff Hassan. 2003. Fiqh dakwah dalam al-Quran.

Mohd Rafiq. Tentangan dan peluang komunikasi islam pada era globalisasi reformasi. Pdf

Al-Quran digital.2004. Versi 2.1. laman web; http://www.alquran-digital.com/

http://klikpsq.blogspot.com/2008/03/konsep-berkomunikasi-dalam-islam.html

http://kalambudiman.com/category/pengucapan-awam-public-speaking/



Read more...

Bercerita, Hujah, Pengajaran !?

Sabtu, 10 Oktober 2009



Permulaan yang Penting

Saya tertarik ketika membaca buku Ustaz Zahazan Mohamed yang bertajuk “101 kisah dan pengajaran daripada Al-Quran, Al-Hadis & Hayatus Sahabah”, tengok tajuk sahaja kita sudah maklum bahawa setiap kisah ini mempunyai kisah yang thabit, yang dapat memberi pengajaran dan memberi kesan ke dalam jiwa. Bukanlah seperti sebahagian orang (mudah-mudahan saya dan pembaca tidak termasuk) yang membawa cerita yang tiada asas, mereka-reka cerita, lebih-lebih lagi bertujuan untuk mentertawakan orang, seperti dalam Hadis yang berbunyi:

عَنْ بَهْزِ بْنِ حَكِيمٍ قَالَ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ أَبِيهِ قَالَ

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ

رواه أبو داود والترمذي وحسنه وغيره

Maksudnya: celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah celakalah! (hadis riwayat Abu Daud dan AtTirmizi lalu menghasankannya dan selain dari mereka)

Juga tidak wajar bagi orang-orang yang berbicara tentang agama yang menjadi hujah mereka adalah apa yang mereka temui di dalam filem, majalah dan sebagainya yang tidak didasari dengan bukti, atau syahid (penyaksian) kepada hujah tersebut, kalau benarlah pekara yang dibicara itu berlaku bawakanlah Hujah dari Al-Quran, Hadis, Sirah yang thabit dan Atsar para sahabat.

Ketahuilah banyak Ayat-ayat Al-Quran, Al-Hadis & kisah-kisah para sahabat yang boleh kita jadikan bahan perbincangan, cerita yang memberi manfaat, kerana cerita-cerita ini ALLAH ceritakan kepada Rasulullah untuk meneguhkan hati Baginda, firman ALLAH SWT, maksudnya:

120. Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman. (surah Huud: 120)

, juga para sahabat, dan apa yang Rasulullah ceritakan kepada para sahabat untuk meneguhkan hati mereka, inilah sumber motivasi untuk pejuang-pejuang aqidah, pejuang-pejuang islam supaya hati mereka utuh, sabar, redha, bersyukur dan sebagainya tatkala diuji dan mengharungi rintangan-rintangan dakwah, bukan mengikut hawa nafsu, mengikut akal fikiran semata-mata.

Saya memetik sedikit pengantar kata pengarang (Ustz Zahazan) : “dalam penyajian suatu kisah sudah semestinya ada mesej atau motif yang ingin disampaikan agar pembaca (atau pendengar) memperolehi pengajaran atau nasihat, selari dengan roh Al-Quran, seperti yang disebutkan dalam Al-Quran, Firman ALLAH SWT, maksudnya:

Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.(surah Al-A’raaf : 176)

Bertitik tolak daripada peringatan inilah, Rasulullah s.a.w. sering mengambil peluang untuk mendampingi para sahabat, membawakan cerita-cerita yang menjadi peransang, meniupkan semangat membangkitkan keimanan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH”.

Saya menyeru diri saya dan para sahabat, juga sidang pembaca, merilah kita membersihkan lidah-lidah kita dari berbicara kosong dalam agama, elakkanlah dari berbicara dengan membawa hujah yang tidak pasti sumbernya, dan kembalilah kita memperbanyakkan masa untuk merujuk kembali Surat Cinta dari Tuhanmu, merindui kembali pedoman Sayyidul jinni wal basyar dan mengikutinya tanpa menyanggah, dan fahamilah segalanya itu sebagaimana fahamnya golongan yang dii’tiraf ALLAH dan Rasulnya.

Cerita

Disini saya teringin untuk berkongsi satu cerita yang Rasulullah telah ceritakan kepada sahabat:

3343 - حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا قَيْسٌ عَنْ خَبَّابِ بْنِ الْأَرَتِّ قَالَ

شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ قُلْنَا لَهُ أَلَا تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلَا تَدْعُو اللَّهَ لَنَا قَالَ كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الْأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهِ فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ لَا يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ أَوْ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ.

Maksudnya:

Daripada Kahbbab bin Al-Aratti r.a. berkata, “kami mengadu kepada Rasulullah s.a.w ketika itu baginda sedang berbaring di bawah lindungan Ka’abah, kemudian kami bertanya, ‘Adakah engkau tidak meminta pertolongan untuk kami? Adakah engkau tidak mendoakan kebaikan untuk kami?’ Baginda lantas bersabda: orang yang sebelum kamu itu ada yang ditanam hidup-hidup, ada yang digergaji dari atas kepalanya sehingga tubuhnya terbelah dua dan ada pula orang yang disisir dengan sisir besi yang mengenai daging dan tulangnya, tetapi yang demikian itu tidak menggoyahkan mereka daripada agamanya. Demi ALLAH, ALLAH pasti akan mengembangkan agama islam kemerata tempat, sehingga berjalan seorang penunggang dari Shan a’ ke Hadhramaut tidak dia takut kecuali ALLAH atau takut serigala akan menyerang kambingnya, tetapi kamu sekalian sangat tergesa-gesa.

(riwayat al-Bukhari, Ahmad, Al-Humaidi, Abu Daud, al-Nasai, matan dari Shahih Al-Bukhari, terjemahan diambil dari buku “101 kisah & pengajaran daripada Al-Quran dan as-Sunnah & Hayatus Sahabah : Ustz Zahazan Mohamed m/s 126” juga merujuk kepada matan)

Pengajaran

(dipetik dari buku Ustaz Zahazan dan diolah sedikit oleh Abu Zaid)

Hadis ini Rasulullah telah memberitahu betapa teruknya seksaan yang diterima oleh orang yang sebelum mereka dalam mempertahankan agamanya, dalam hadis ini telah menerangkan keutamaan sabar dan dugaan dalam beragama. Dan kisah sebegini telah meningkatkan kesabaran para nabi atas seksaan yang bertubi-tubi dengan penuh kerelaan dan jiwa yang tenang. Hadis ini juga menganjurkan untuk mencontohi orang soleh yang banyak mendapat ujian tetapi mereka tetap bersabar dalam menghadapinya, dan meyakini bahawa kemenangan yang ALLAH janjikan tetapkan tiba, berdakwahlah, berjuanglah, dan bersabarlah dan jangan bertindak tergesa-gesa. Dalam hadis ini menerangkan salah satu mukjizat Nabi s.a.w. yakni tersebarnya islam dan terwujudnya keamanan dan kedamaian, dan islam adalah agama yang penuh dengan kedamaian dan ketenangan hingga datang hari kiamat.

Wallahu ‘alam.

Read more...

Layar Keinsafan

Sabtu, 03 Oktober 2009


Layar Keinsafan:

Sepi benar senja ini,

Bayunya seminit menganak ombak kecil,

Jalur ufuk pula mengemas terang kapal,

Dan layar tarkapar,

Mengapa nantikan senja barukan terdetik pulang ke pengkalan,

Gusar malam menghampiri,

Ku tewas di lautan.

Tuhan…

Layarkan ku kearah cinta-Mu,

Tontoni ku menggapai redha-Mu,

Timbunan kasih-Mu ku berteduh,

Kepada Mu ya Tuhan.

Berikan secebis keinsafan,

Bekalan sepanjang perjalanan,

Mencari ketenangan.

Biar Kau menjadi saksi,

Tulus tangisku sepanjang kala dinihari,

Kesempatan yang hanya sebentar,

Moga keikhlasan ku terlakar.

Berikanlah ku hidayah,

Agar dikuatkan iman yang lemah,

Moga diberkati hidup ini,

Menuju bahagia yang kekal abadi.

Pada-Mu Tuhan,

Kan ku serahkan cinta kepada-Mu.

Harapanku moga dikurniakan,

Manisnya iman berpanjangan,

Moga lautan hilang gelora,

Untukku belayar.

Mestica-Layar keinsafan.

Ingat lagi tatkala lagu ini baruku dengar, merdu sungguh suara penyanyi nasyid, penuh penghayatan, sewaktuku masih bersekolah menengah memang lagu nasyid sebegini akan didendangkan di waktu pagi, jadi apabila lagu ini di dendangkan aku menanya salah seorang sahabatku apakah tajuk lagu ini, dan aku diberitahu tajuk lagu ini adalah layar keinsafan. Sejak dari itu lagu ini sering menjadi halwa telingaku.

Hayatilah.

Seingatku selepas selesai menunaikan solat maghrib (sewaktu masih di tingkatan 4 Sekolah Menengah Agama Dong) aku meluahkan pendapatku terhadap lagu ini kepada sahabatku; Hafizi,

“aku minat la lagu layar keinsafan” kata ku,

“aku pun sama tapi aku rasa sedih bila dengar lagu tu” jawab Hafizi,

“kenapa?” soalku,

“cubalah kau hayati lagu tu, mula-mula aku rasa biasa je dengar lagu nie, tapi bila dihayati, sedih” Hafizi menjawab.

Timbul tanda tanya dalam benak fikiranku atas pendapat yang diberikan sahabatku, aku menghormati hafizi kerana dia mahir dalam bidang nasyid, dan dia adalah salah seorang wakil sekolah dalam pertandingan nasyid, dan beberapa kali dijemput bernasyid di majlis-majlis keagamaan, sehingga sekarang pun dia masih giat bernasyid dalam kumpulan Munada yang semua ahlinya adalah sahabat-sahabat saya.

Keinsafan.

Dan tanda tanya itu terungkai apabila berkali-kali aku mendengar lagu ini dan cuba menghayati lirik ini.

Memang terkadang manusia itu apabila sudah meningkat usianya ataupun sudah tua barulah mereka nak memperbanyakkan amal ibadat, contoh yang paling masyhur adalah apabila kita menasihati atau menegur sesetengah orang maka jawapannya : “alah nanti aku tobat la” “bila tua nanti aku buatlah banyak amal ibadat”, kerana di usia tua inilah mereka tidak sibuk mencari kemewahan dunia, tidak di bebani dengan urusan yang dapat memungkinkan kehidupan.

Orang seperti ini (Mudah-mudahan saya dan pembaca tidak tergolong dari golongan ini) dianalogikan rutin nelayan yang berada ditengah lautan,sampan mereka dihempas ombak laut jikalau dihempas ke kanan maka sampan akan bergerak ke kanan begitulah sebaliknya, mereka ditiup angin badai, dan mereka masih sibuk mencari hasil dan apabila langit kemerahan menunjukkan masuknya waktu senja barulah mereka terdetik untuk pulang ke pengkalan,maka persoalan yang timbul, apakah mereka sempat untuk tiba ke pengkalan sebelum hari gelap? Apakah mereka selamat belayar ditengah kegelapan malam dan kegelapan laut, dan di tengah ombak yang bergelora? Jikalau mereka tidak berjaya, siapakah yang dapat membantu mereka, tentulah cahaya dari rumah api, itupun sekiranya cahaya itu sampai kepada mereka.

Inilah antara mesej yang terkandung dari lirik tersebut, sesetengah manusia apabila usia mereka menjelang senja barulah mereka terfikir untuk beribadat kerana dahulunya mereka sibuk mencari habuan dunia, mereka dihempas oleh arus kehidupan yang memperdayakan di dunia, hinggalah tiba di usia senja, dan mereka mempunyai kelapangan untuk menghabiskan usianya dengan ibadat, syukurlah kalau mereka sempat berbuat demikian, persoalannya; apakah mereka sempat untuk bertaubat sebelum tiba ajalnya, apakah mereka dapat mengharungi kehidupan yang memperdayakan atau mereka terus hanyut, kalau mereka hanyut pakah yang dapat membantu mereka, tidak lain dan tidak bukan adalah cahaya petunjuk dari Tuhan semesta alam, tetapi apakah yang memungkinkan dia untuk mendapat petunjuk, Wallahu a’lam.

Peringatan.

Saya menasihati diri ini, dan sahabat-sahabat supaya buatlah amal ibadat semampunya tatkala nyawa masih dikandung badan, tidak kira kita masih muda atau tua, kaya atau miskin, kematian pasti akan menjemput, tidak lambat mahupun cepat.

Hayatilah firman ALLAH:

{ وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (133)}

Maksudnya; 133. Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (surah Ali ‘Imran : 133)

Dan hindarilah dari keni’matan yang hakikatnya sekadar memperdaya;

Firman ALLAH SWT:

{ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا مَتَاعُ الْغُرُورِ(185) }

Maksudnya: Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.

(surah Ali ‘Imran; 185)

Wallahu a’lam,

Read more...

Public Speaking, satu ‘methodology’ dakwah edisi 1

Kamis, 01 Oktober 2009

Muhammad Ikhlas


MUQADIMAH

Apabila kita mendengar atau menjadi penonton syarahan atau pidato, setelah kita melihat kesungguhan dan kelancaran tutur kata pemidato, setelah mereka meyakinkan kita melalui gerak-gaya dan reaksi badan, maka mereka telah membuatkan kita tertarik dengan hujah-hujah mereka, kita terpengaruh dengan pandangan mereka. Satu persoalan timbul di dalam benak pemikiran, apakah dakwah islam memerlukan methodology ini, jawapannya YA.

Dakwah dengan lisan adalah satu bentuk dakwah yang dapat memberi impak yang besar, tetapi perlulah mengikut methodology dan prinsip yang di bawa al-Quran & as-Sunnah. Merujuk kepada firman ALLAH S.W.T :

{ ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (125) }

Maksudnya: 125. Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (surah an-Nahl : 125)

Kata Ibn Jarir .rh :dengan hikmah: ialah apa yang diturunkan padanya (manusia) daripada al-Quran dan as-Sunnah. Dengan pelajaran yang baik : seperti menegah (dari melakukan maksiat) dan menyelamatkan (dari melakukan maksiat) manusia dan memperingati mereka, untuk menyelamatkan mereka dari azab ALLAH S.W.T. bantahlah mereka dengan cara yang baik: sesiapa yang ingin melakukan perbincangan atau perbantahan, maka lakukan dengan baik, lembut, lemah lembut, dan pertuturan yang baik.

Seperti firman ALLAH S.W.T ; 46. Dan janganlah kamu berdebat denganAhli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka (Yang dimaksud dengan orang-orang yang zalim ialah: orang-orang yang setelah diberikan kepadanya keterangan-keterangan dan penjelasan-penjelasan dengan cara yang paling baik, mereka tetap membantah dan membangkang dan tetap menyatakan permusuhan.) (surah al-Ankabut ;46)

Juga dalam firman-Nya: 44. maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (surah Thaahaa : 44) [1]

Berdasarkan metodologi atau manhaj asas yang tiga itu telah menjadi permulaan kepada strategi merealisasikan dakwah dalam pengucapan awam.

3 PEKARA ASAS

Baiklah mari kita bincang apa pekara asas yang perlu ada atau persediaan awal dalam konteks penyampaian dakwah. Iaitu:

  • Iman: pekara pertama yang perlu adalah menanamkan iman, dan iman adalah tunjang utama kejayaan, dengan iman Rasulullah berjaya membawa dakwah islam, dengan iman kita lihat para sahabat berjaya meluaskan empayar islam, meluaskan dakwah islam, meninggikan kalimahلا إله إلا الله termasuk perjuangan para Tabi’in dan Tabi’ut tabi’in.
  • Ikhlas: niat yang ikhlas perlu disemat kerana setiap amalan dan hasil adalah bergantung pada niat sesorang itu dalam sabda Rasulullah : (إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ ) yang bermaksud : sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. (HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-tarmizi, An-Nasaie, Ibn Majah, Ahmad.
  • Ilmu; ketahuilah bahawa setiap yang kita akan sampaikan ini akan menjadi pegangan atau ikutan oleh masyarakat, kerana kita berdakwah atas title Islam maka sikap islam perlu ditonjolkan, maka hendaklah kita sampaikan dakwah atas dasar yang kukuh dan perlu di perkukuhkan lagi. Dan banyak ayat al-Quran dan Hadith yang menceritakan kelebihan dan kewajipan menuntut ilmu.

Setelah kita menguasai tiga perkara asas ini maka pengucapan awam kita masih berada diatas matlamat dan kejujuran dakwah, kerana asas ini ibarat akar pokok, jika akar dapat mencari sumber yang baik maka akar akan menjadi sihat, batang akan menjadi kukuh, bunga dan dedaun yang segar menghiasi pokok dan buah menjadi berisi dan enak.

KONSEP 5 QAUL

Baiklah seterusnya kita akan membincangkan bagaimana pengucapan awam kita ini berjaya, memberi kesan, dan fleksibel. Untuk menarik jiwa-jiwa pendengar & jiwa-jiwa mad’u samada beragama islam, atau golongan kafir, Yahudi, Nasrani, Munafiq, Fasiq, Zalim, samada golongan atasan, pemerintah, hinggalah golongan bawahan hamba dan sebagainya maka cubalah kita amalkan konsep 5 Qaul, iaitu;

  • Qaulan Thaqila (perkataan yang berat)

Perkataan yang berat ini bukanlah dimaksudkan berhujah dengan pekara yang sukar difahami oleh pendengar tetapi secara tepatnya adalah menggunakan hujah-hujah dari wahyu (Al-Quran), maksud Qulan Thaqila ini menurut pendapat adalah salah satu gambaran wahyu kerana beratnya turun wahyu;

{ إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا }

Bermaksud: Sesungguhnya Kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat. (surah Al-Muzammil ; 5)

Nota: Menurut tafsir yang ma’thur yang menunjukkan bahawa Qaulan Thaqila itu adalah membawa maksud beratnya turun wahyu berdasarkan hadith:

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a: Ketika Nabi S.A.W sedang menerima wahyu pada suatu hari yang dingin aku melihat peluh berjatuhan dari dahinya hingga wahyu itu selesai diturunkan ALLAH SWT.( H.R Bukhari) [2]

  • Qaulan Sadida (perkataan yang benar)

Seseorang itu akan dipandang tinggi jikalau perkataan yang keluar dari mulutnya adalah pekara yang benar kalau dilihat dari sudut pengucapan awam hendaklah hujah yang dituturkan lidah tidak lain hanyalah fakta semata-mata, kita akan terpegun apabila melihat seseorang itu membawa bukti atas apa yang mereka katakana, kerana pembuktian adalah salah satu jalan menunjukkan kebenaran, seperti firman ALLAH SWT;

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: Katakanlah: "Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar." (surah Al-Baqarah : 111)

Berbalik kepada Qaulan Sadida: firman ALLAH SWT;

{ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلا سَدِيدًا (70) يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ

ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا (71) }

Maksudnya; 70. Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, 71. niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar. (surah Al-Ahzab ; 70-71) [3]

Maka pengucapan awam yang dilimpahi dengan limpahan fakta adalah salah satu Pengucapan awam yang bersifat ilmiah, bukan cakap kosong.

  • Qaulan Balighoh (perkataan yang berbekas pada jiwa)

Perkataan yang memberi kesan dalam jiwa ini adalah satu sumbangan besar dalam dakwah dan pengucapan awam, perkataan seperti inilah yang memungkinkan diri seseorang itu dapat berubah atau sekurang-kurangnya sedar apakah “kebenaran”. Qaulan Balighoh juga boleh kita ertikan sebagai menasihati dengan pertuturan yang fasih meencegah (dari melakukan kesalahan) untuk mereka (sidang pendengar). [4]

Sebagaimana Firman ALLAH SWT;

أُولَئِكَ الَّذِينَ يَعْلَمُ اللَّهُ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَعِظْهُمْ وَقُلْ لَهُمْ فِي أَنْفُسِهِمْ قَوْلا بَلِيغًا (63)

Maksudnya: 63. Mereka (orang munafiq) itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang di dalam hati mereka. Karena itu berpalinglah kamu dari mereka, dan berilah mereka pelajaran, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka. (surah AnNisa’ ;63)

  • Qaulan Layyina (Perkataan yang lemah-lembut)

Bukanlah dimaksudkan lemah-lembut itu dengan suara yang halus dan mendayu-dayu, tetapi ianya adalah yang berlawanan dengan tutur kata yang negatif, penuh emosianal, mengikut nafsu dan sebagainya.

Seperti fiman ALLAH SWT:

{ فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى(44) }

Maksudnya; 44. maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (fir’aun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (surah Thaahaa ; 44)

Didalam ayat ini terdapat I’tibar atau pengajaran yang besar, kerana Fir’aun sebagaimana yang kita tahu bahawa dia berada di tahap penghujung kesombongan dan kebongkakan, dan nabi ALLAH Musa a.s diperintahkan supaya tidak berhujah dihadapan Fir’aun kecuali dengan perkatan yang halus dan lemah-lembut[5]. Ini adalah kerana metodologi tersebut boleh memberi impak dan kesan ke dalam jiwa-jiwa manusia terutama bagi mereka yang ingkar. Ia adalah satu faktor penting dalam konteks berdakwah, bersosial, bergaul, berkomunikasi, dan sebagainya, sehingga orang, pendengar, atau mad’u merasa tenteram dan rela menerima pendapat dan perbincangan kita.

  • Qaulan Ma’rufa ( perkataan yang baik)

Sebagaimana Firman ALLAH SWT:

وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلا مَعْرُوفًا(8)

Maksudnya; dan ucapkanlah kepada mereka (kerabat, anak yatim dan orang miskin) perkataan yang baik.

Memang tidak dinafikan pertuturan yang tidak menyentuh perasaan, sensitiviti, amatlah digalakkan didalam merealisasikan pengucapan awam yang berjaya, perkataan yang dikeluarkan hendaklah perkataan yang baik, tidak mencela, mencaci, mengutuk individu atau kumpulan yang lain, juga tidak merendah-rendahkan golongan lain. Dalam sebuah hadith yang berbunyi :

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari Akhirat maka berkatalah baik atau diam. (HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, AtTirmizi, Ahmad)

………………………………………………………………………..

Rujukan:

(1,2,3,4,5) Tafsir Ibn Katsir

Maktabah Syamilah: kitab-kitab matan hadith.

Muhammad Haniff Hassan. 2003. Fiqh dakwah dalam al-Quran.

Mohd Rafiq. Tentangan dan peluang komunikasi islam pada era globalisasi reformasi. Pdf

Al-Quran digital.2004. Versi 2.1. laman web; http://www.alquran-digital.com/

http://klikpsq.blogspot.com/2008/03/konsep-berkomunikasi-dalam-islam.html

http://kalambudiman.com/category/pengucapan-awam-public-speaking/



http://ikhlas89.blogspot.com/

Read more...

Al-Quran

Listen to Quran

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP